“Sendiri Buat Silap, Sendiri Give Up” – Dollah Salleh Keliru Ramuan Tak Menjadi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh mengakui terkilan melihat ramuan yang dibawanya untuk meraih kemenangan dalam aksi pembukaan Piala Malaysia 2021 tidak menjadi sama sekali.

Sri Pahang tewas 1-3 kepada KL City FC dalam aksi pertama Kumpulan A di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Ahad.

Menurut Dollah Salleh, beliau keliru kerana segalanya nampak menjadi ketika latihan tetapi tidak dapat diterjemahkan ketika perlawanan.

“Saya tak jangka malam ini kita serba tak menjadi di barisan serangan. Kalau tengok dalam latihan dua minggu lepas nampak berbeza tapi bila perlawanan kita tak dapat buktikan itu yang saya kecewa sangat.

“Apapun pada awal permainan kita dapat satu peluang, sebenarnya kalau kita jaringkan tu mungkin dapat suntik semangat pemain. Mungkin motivasi pemain sikit terjejas, boleh nampak kekecewaan kerana peluang terlepas begitu sahaja.

“Sebab kita tak mencipta peluang, terlalu sukar, bila ada kita tak gunakan itu punca kita nampak tak menjadi dan kita juga lepaskan gol-gol mudah dari gol pertama, kedua hingga yang ketiga,” ujar Dollah Salleh.

Beliau bagaimanapun tidak menjadikan padang basah sebagai alasan sebaliknya menganggap pasukan Sri Pahang sememangnya tidak berjaya menyaingi kualiti KL City dari segenap sudut.

“KL nampak lebih berdisiplin, mencipta peluang menerusi counter attack. Nampak lebih mantap semua bahagian. Kita sukar tembusi pertahanan KL.

“Seperti saya kata, kita tidak mencipta peluang. Setakat menyerang, main cantik macam mana pun takde makna, kena cipta peluang.”

Tambah Dollah Salleh lagi, masalah utama barisan pemainnya adalah mudah berputus asa dan mengakui sudah tidak tahu bagaimana mahu memulihkan moral serta keyakinan mereka.

“Karakter pemain masih lagi tak ada semangat melawan. Bila dah kena (gol), takde nampak keinginan untuk bangkit semula nak beri saingan. Macam-macam cara tak nampak semangat. Sekarang kita cuma bergantung kepada bertahan, dalam bola semata-mata bertahan tapi tak skor takde guna. Itu yang merisaukan saya.

“Sebenarnya saya dari awal dah tegur, kena ubah sikap putus asa, itu yang menjadi masalah. Sendiri buat silap lepas tu sendiri give up. Sepatutnya sikap tu kena perbetul, kawan kena bantu bagi semangat, setakat ni takde nampak lagi benda tu,” ujarnya lagi.

Aksi selepas ini, Sri Pahang akan menentang Sarawak United pada Rabu di Stadium Uitm Shah Alam. Sarawak United mengejutkan Penang FC 3-1 dalam aksi pembukaan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.