Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakSerik ditipu paksa Manaf Mamat sara hidup dengan jual durian

Serik ditipu paksa Manaf Mamat sara hidup dengan jual durian

Dahulunya dia dilabel salah seorang penyerang terbaik dan cukup digeruni dalam kancah bolasepak tempatan, tetapi kini Abdul Manaf Mamat, meneruskan hidup dengan menjual durian.

Kalau diikutkan usianya yang kini 34 tahun, Manaf Mamat sebenarnya masih boleh bermain dalam kancah Liga Malaysia tetapi ada perkara yang membuatkan bekas penyerang kebangsaan ini tawar hati – isu tunggakan gaji yang tidak berkesudahan.

Manaf Mamat yang mencipta nama ketika menyarung jersi Terengganu FC dari tahun 2009 hingga 2015 malah pernah membantu skuad B-23 negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 berkata episod malang dalam kariernya bermula ketika mewakili Marcerra Kuantan FA pada 2018 dan berulang ketika bermain dengan Batu Dua FC pada 2019.

“Saya antara yang tidak menerima gaji ketika bermain di Marcerra Kuantan FA (belum selesai) dan situasi terbabit berulang ketika bermain dengan Batu Dua FC apabila lebih enam bulan tidak menerima bayaran.

“Situasi berkenaan cukup mengajar saya untuk lebih berhati-hati dan ketika ini saya menyara keluarga dengan menjual durian saja.

“Selama ini saya tidak bersuara dan kalau diikutkan saya tidak mahu kecoh mengenai perkara ini sebaliknya duduk berbincang cara baik dengan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk berjumpa pengurusan kelab sebelum ini, tetapi tiada jalan penyelesaian walaupun sudah lebih setahun berlanjutan,” ujar Manaf Mamat.

Kelab terakhir diwakili pemain ini adalah Harini FC dalam saingan Liga M3 pada musim 2020 tetapi dia hanya sempat bermain dua perlawanan sahaja sebelum liga dibatalkan kerana penularan Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menganggap setakat itu sahaja rezekinya sebagai pemain bolasepak profesional, Manaf Mamat yang turut pernah menyarung jersi Kelantan FC dan Kuala Lumpur City FC berkata dia tidak kisah untuk meneruskan kelangsungan hidup sebagai peniaga durian.

Manaf Mamaf teruskab hidup dengan menjual durian
Manaf Mamat

“Tiada apa yang perlu dimalukan, saya juga manusia biasa yang perlu menyara isteri dan anak untuk hidup. Kebetulan musim durian, saya mengambil peluang dengan menjual raja buah ini dan syukur sambutan diterima sangat menggalakkan,” ujarnya.

Manaf Mamat bagaimanapun tidak menolak mahu mengalih fokus kepada membuat lesen kejurulatihan dan beralih ke bidang kejurulatihan selepas ini.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.