Sertai JDT, Shahrul Saad kecewakan Sri Pahang, Selangor

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sepanjang beberapa hari lalu, nama Johor Darul Takzim langsung tidak dikaitkan sebagai destinasi untuk Shahrul Saad meneruskan kariernya jika betul dia mahu angkat kaki meninggalkan Perak FC.

Yang hangat dikaitkan adalah Selangor FC dan Sri Pahang FC, malah terdapat dakwaan tersebar pemain kebangsaan itu sebenarnya sudahpun menandatangani kontrak bersama skuad tok gajah dan hanya menunggu masa untuk diumumkan.

Tiba-tiba tiada angin tiada ribut, bukan sahaja Shahrul Saad malah rakan sepasukannya Guilherme De Paula yang juga pemain naturalisasi, kedua-duanya diumumkan sebagai pemain baru JDT.

Mungkin inilah beza JDT dan pasukan-pasukan lain dalam Liga Malaysia, mereka nak, mereka tidak menunggu lama dan pantas bertindak.

Dan sudah tentu apabila datangnya tawaran daripada sebuah kelab paling berjaya di Liga Malaysia, ia bukan sesuatu yang sukar buat kedua-dua pemain membuat keputusan.

Kekal bersama Perak FC yang dihimpit masalah kewangan dan tunggakan gaji, pastinya bukan pilihan terbaik.

Kehadiran Shahrul Saad dan Guilherme De Paula juga memberi bayangan betapa JDT tidak mahu dominasi mereka dalam kancah bolasepak tempatan digugat, dan mengukuhkan peluang untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super untuk musim kelapan berturut-turut.

Sebagai rekod, Shahrul Saad merupakan produk Piala Presiden Perak dan pernah bermain dengan Harimau Muda serta Felda United sebelum menyertai skuad Liga Super Perak pada 2016.

Manakala Guilherme De Paula pula pernah bermain sebagai pemain import bersama PDRM, Selangor dan Kuala Lumpur sebelum menyertai Perak pada 2020.

Pada tahun ini, dia berstatus pemain tempatan setelah dinaturalisasikan dan telah dipanggil untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Dengan tambahan dua pemain ini, menjadikan JDT kini mempunyai lebih sedozen kelibat pemain kebangsaan di dalam skuad termasuklah Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abd Razak, Lavere Corbin Ong, Matthew Davies, Afiq Fazail, Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh, Syafiq Ahmad, Syazwan Andik, Syamer Kutty Abba dan Daniel Amier Norhisham.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.