Sertai Perak FC demi minit permainan, namun Azri Ghani masih belum raih kap sulung

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hujung tahun lalu, penjaga gol muda Azri Ghani membuat keputusan berani untuk meneruskan perjalanan kariernya apabila meninggalkan Kedah Darul Aman FC dan menyertai Perak FC dengan tujuan utamanya adalah mahu mencari lebih minit permainan.

Kini sudah lima perlawanan Liga Super 2021 berlangsung, penjaga gol kelahiran Kelantan itu belum membuat sebarang penampilan bersama Perak FC, tatkala Hafizul Hakim yang kembali daripada kecederaan menjadi pilihan utama di gawang skuad Bos Gaurus itu.

Dalam kelima-lima perlawanan Azri Ghani berada di bangku simpanan dan adalah diragui adakah dia akan merampas posisi Hafizul Hakim yang dilihat berada pada prestasi terbaiknya.  

Azri Ghani sebelum ini mengakui bergelut untuk mendapat tempat dalam skuad utama Kedah FC, pada musim 2020 setelah terpaksa bersaing sengit dengan dua lagi penjaga gol, Shahril Saa’ri dan Ifwat Akmal Che Kassim.

Justeru, keputusan berhijrah ke skuad yang ketika itu masih dikendalikan Mehmet Durakovic dianggap tepat oleh pemain berusia 21 tahun itu di dalam memastikan potensinya akan lebih menyerlah.

“Kedah memang sebuah pasukan hebat, tetapi saya akui saya kurang mendapat minit permainan dan persaingan terlalu sengit untuk saya berada dalam skuad utama, hanya pada penghujung musim sahaja baru saya berpeluang untuk beraksi.

“Sama seperti musim lalu ketika saya bersama Felda United apabila saya juga kurang beraksi dan saya tidak mahu ia terus berulang lagi pada setiap musim akan datang.

“Sebab itu, saya rasa inilah masa yang tepat untuk saya mencuba aura baharu bersama Perak pada tahun 2021, dan akan bekerja keras mengembangkan lagi potensi saya selain ingin bantu Perak harungi Liga Super dengan lebih cemerlang”, katanya.

Azri Ghani bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Kedah atas pengalaman berharga dihadiahkan pada musim 2020, di mana dia mendapat peluang beraksi dalam beberapa perlawanan terakhir berikutan kecederaan dialami Ifwat dan Shahril.

Aksi cemerlangnya berjaya membantu Kedah muncul naib juara CIMB Liga Super selain layak beraksi di Piala AFC 2021.

Sebagai rekod, Azri Ghani mula mencipta nama selepas beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan pada Kejuaraan B-19 AFF 2018 sehingga pasukan kendalian Bojan Hodak ketika itu muncul juara buat kali pertama.

Selain Azri Ghani dan Hafizul Hakim, seorang lagi penjaga gol Perak FC adalah Nasrullah Abd Aziz. 

Foto kredit : Khairil Ajhar Jaafar

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.