Jatuh sekali lagi, bolehkah Rozaimi bangkit daripada ‘kosong’ buat kali ketiga?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Nama Rozaimi Abdul Rahman, kembali meletup dan menjadi bualan penyokong bolasepak tanah air, semuanya gara-gara kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Dato’ Verdon Bahanda bahawa pemain itu tidak professional dan tidak sesuai menyarung jersi pasukan itu.

Rozaimi yang dijangka kembali berbakti dengan negeri kelahirannya selepas berhijrah pada 2016, didakwa Verdon Bahanda sebagai tidak profesional dan tidak menunjukkan contoh yang betul kerana kenyataannya di media sosial.

“Satu perkara yang harus dielakkan, perkara bodoh yang dibuat oleh pemain professional adalah mengeluarkan kenyataan di media sosial tanpa berunding dengan pihak sepatutnya, ini perkara langsung tidak boleh berlaku. Saya cukup rasa kesal sekiranya perkara yang dia lakukan akan menjadi ikutan pemain lain, ia akan menghancurkan pasukan Sabah pada masa akan datang.

“Sepatutnya tunjukkan sikap yang baik kepada junior. Ini bukan pasal gaji, kalau pasal gaji kita boleh runding, tapi sikap profesionalisma, atitud, ini perkara paling asas saya harapkan dari pemain senior berstatus bintang supaya mereka sentiasa berikan tunjuk ajar tetapi sebaliknya, ini memberi tekanan kepada kelab,” kata Verdon ketika dihubungi Labola Malaya.

Isu timbul selepas Rozaimi menyatakan rasa bimbang dengan masa depannya kerana masih belum ditawarkan kontrak oleh Sabah FA setelah berhabis kira-kira RM14,000 untuk membawa semua barang-barangnya dari Semenanjung ke Sabah, dan menganggap dirinya kena scam (tertipu).

Verdon Bahanda berpendapat ia satu tuduhan yang tidak adil daripada pemain itu sehingga pengurusan Sabah FC menjadi sasaran kecaman.

“Saya telah bertemu dengan Rozaimi di pejabat Sabah FA, pada pertemuan itu, perkara pertama saya cakap kepada Rozaimi adalah saya teruja untuk mendapatkan khidmat beliau, walau bagaimanapun kita mempunyai kekangan untuk menandatangani kontrak pada ketika itu, disebabkan saya masih dalam penyusunan, masih dalam proses menyusun semula pengurusan dan jurulatih Sabah FC.

“Perkara kedua saya katakan kita masih belum tahu bila boleh memulakan latihan kerana bergantung kepada arahan kerajaan untuk memberikan kita lampu hijau. Itu sebab saya kata kepada beliau kita perlu masa sekurang-kurangnya dua minggu, iaitu dalam pertengahan Disember untuk berikan keputusan menandatangani setiap pemain yang ada, itupun selepas meneliti setiap aspek seperti kecergasan dan keadaan kecederaan semua pemain.

“Dalam perbincangan tersebut, tak ada satu perkataan pun daripada saudara Rozaimi bahawa beliau perlu atau mahu menandatangani kontrak secepat mungkin. Beliau mendiamkan diri di hadapan semua orang yang ada dalam pejabat, malah saya kata kepada beliau jika perlu apa-apa datang jumpa dan bincang dengan saya secara peribadi.

“Apa yang berlaku selepas itu, pada 29 November, Rozaimi telah berjumpa dengan pengurus pasukan (Jelius Ating). Ketika itu juga, tiada permintaan daripada Rozaimi mahu menandatangani kontrak. Beliau hanya mendiamkan diri.

“Tetapi pada malam itu juga, saya dikejutkan apabila beberapa kawan menghantar video live facebook Rozaimi, di mana dia mengatakan ‘siapa cepat dia dapat, saya tidak diberikan kontrak’. Sepatutnya dia terangkan apa yang berlaku, dan ini tidak adil kepada diri saya, dan juga pengurusan Sabah FC sekiranya terus dipersalahkan penyokong di luar sana. Kita sudah ada persetujuan.

“Lagipun, untuk kembali ke Sabah ini, adalah kehendak beliau. Saya tidak pernah menjemput beliau, saya cuma cakap kalau mahu kembali, pintu terbuka luas. Ini yang berlaku tetapi saudara Rozaimi telah menuduh Sabah FC sebagai menipu.

“Kita tidak pernah menipu dan telah memberi satu peluang kepada Rozaimi untuk berkhidmat, malangnya dengan sikap begitu, saya rasa beliau tidak sesuai berada dalam pasukan Sabah FC pada musim hadapan,” tegasnya.

SALAH ROZAIMI ATAU PENGURUSAN BUAT SAMBIL LEWA?

Mengambil kira penjelasan Verdon, jelas Rozaimi telah terburu-buru, tetapi adilkah untuk meletakkan kesalahan ke atasnya semata-mata?

Ini bukan kali pertama situasi seperti ini berlaku di kem Sabah, sesiapa yang mengikuti rapat bolasepak Sabah pasti akan mengakui melengahkan urusan tandatangan kontrak atau pegawai adalah sikap normal mereka sejak bertahun lamanya. Sikap sambil lewa seolah sudah sebati dengan mereka.

Justeru, rata-rata penyokong berpendapat Rozaimi tidak bersalah dalam hal ini sebaliknya telah berlaku salah faham, dan berharap kedua-dua pihak akan berdamai demi kemajuan bolasepak Sabah. Mereka sebolehnya tidak mahu Sabah kehilangan seorang pemain bintang dengan kaliber Rozaimi.

Rozaimi pada hakikatnya nama yang cukup sensasi dan ibarat satu fenomena di negeri Kepulauan Borneo itu.

Pemain berusia 28 tahun kelahiran Papar itu merupakan produk Piala Presiden Sabah yang disifatkan sebagai antara bakat terbaik pernah dilahirkan Sabah selepas berlalunya era Zainijam Marjan.

Dia mencipta nama ketika SUKMA 2012 di Pahang apabila membantu Sabah memenangi pingat emas dengan menewaskan Perak dalam aksi final, dan terus mengembangkan kariernya apabila dipinjamkan ke skuad B-22 negara kendalian Ong Kim Swee seterusnya muncul penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala AFC B-22 2013.

Rozaimi kembali ke Sabah selepas itu, namun bergelut dengan kecederaan buku lali pada April 2014 dan ketika dia mahu kembali, kecederaan itu berulang lagi pada awal 2015, menyaksikannya terpaksa bermula daripada kosong.

Ketika dia disebut bakal membuat kemunculan semula pada Julai tahun tersebut, malang menimpa lagi apabila Rozaimi terbabit dalam kemalangan yang turut mengorbankan anak saudaranya.

“Selepas kemalangan itu, saya lebih banyak berehat di rumah, namun begitu bagi saya kehidupan harus diteruskan dan saya perlu melakukan sesuatu untuk mengembalikan keyakinan, khususnya beraksi semula di padang kerana bola sepak adalah jiwa saya.

“Beberapa minggu selepas nahas itu, saya berfikir saya perlu terus kuat dan tidak boleh berputus asa kerana masih sayangkan bola sepak, ia sudah sebati dalam hidup saya, saya bertekad akan menjalani dan mengikuti apa saja rawatan untuk pulih sepenuhnya dan selamatkan karier saya walaupun terpaksa bermula semula daripada ‘kosong’ sebanyak dua kali (selepas kecederaan panjang dan kemalangan jalan raya).

“Banyak perkara buruk yang telah saya alami dalam karier, saya namun saya yakin semua yang terjadi pasti ada hikmahnya,” kata pemain itu dalam satu laporan akhbar pada 2015.

SABAH FA GAGAL BANGUNKAN KARIER ROZAIMI

Pada ketika dia merasakan Sabah FA ada untuk menaikkan dan memulihkan kariernya, mereka pula membuat keputusan menamatkan kontraknya pada November 2015, sekaligus menjadi satu tamparan buatnya.

Sabah FA jelas gagal dalam membangunkan semula karier bolasepak Rozaimi walaupun turut mendapat bantuan pakar dari Institut Sukan Negara (ISN) menangani masalah kecederaan yang membelenggu anak jati Bongawan itu.

Malah Labola Malaya difahamkan sebahagian besar kos rawatan Rozaimi ketika itu turut dibiayainya sendiri walaupun masih dalam kontrak bersama SAFA.

Di sebalik apa yang berlaku, pemain itu tetap membuka pintu kepada Sabah FA berunding semula dengannya pada penghujung 2015, dan bersetuju untuk beraksi bersama pasukan Sabah selepas tiga kali berbincang mengenai gaji di mana  dia hanya ditawarkan gaji lebih rendah dari sebelumnya.

Bagaimanapun, tabiat SAFA yang seperti biasa melengahkan urusan tandatangan kontrak pemain – supaya mereka boleh tawarkan gaji lebih rendah daripada apa yang telah dipersetujui – jelas merimaskan Rozaimi, lantas memaksanya menerima tawaran jauh lebih baik dari Johor Darul Takzim.

Dia menandatangani kontrak tiga tahun dan kemudian lanjutan dua tahun yang membantu memulihkan dan meletakkan kariernya kembali dalam landasan, tetapi sayang setelah kembali ke Sabah kerana percayakan kata-kata Verdon Bahanda, perkara sama berlaku lagi.

Walaupun orang di dalamnya berubah, Sabah FA masih tidak berubah dan kekal dengan cara pentadbiran mereka sendiri.

Kepada Rozaimi, buat apa menabur bakti berlandaskan kesetiaan kepada pasukan negeri tercinta andai kudrat tidak dihargai oleh pengurusan yang tidak profesional, anggap sahaja mereka yang tidak bertuah untuk mendapat sentuhan anda.

Anda pernah bangkit dua kali daripada kosong, pasti anda boleh melakukannya sekali lagi!

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.