Setiausaha Agung FAM Letak Jawatan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tiada angin, tiada ribut, arena bolasepak tanah air secara tiba-tiba dikejutkan dengan perkhabaran bahawa Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM), Saifuddin Abu Bakar telah membuat keputusan untuk meletak jawatan.

Beliau difahamkan telah menyatakan hasrat tersebut kepada kepimpinan tertinggi FAM dan ianya akan dibincangkan dalam satu mesyuarat exco FAM pada Selasa.

Sebagai rekod, Saifuddin dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada 1 September 2021 bagi menggantikan Stuart Ramalingam yang “berhijrah” ke Malaysian Football League untuk bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif badan itu.

Justeru, jika keputusan Saifuddin mengundur diri diterima, beliau yang juga Setiausaha Agung ke-10 dalam sejarah badan induk itu bakal menjadi Setiausaha Agung paling singkat memikul tanggungjawab itu.

Walaupun tidak diketahui mengapa Saifuddin mengambil keputusan tersebut, laporan media mengatakan bahawa beliau sebenarnya akur dengan kehendak Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu menyuntik nafas baru, manakala portal Flashsukan pula melaporkan bahawa ia disebabkan urusan peribadi.

Untuk makluman, Saifuddin yang berusia 61 tahun berasal dari Melaka dan berpengalaman lebih 30 tahun dalam tadbir urus bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Beliau menjawat tugas di pelbagai unit dalam FAM dari 1995 hingga 2003, termasuk sebagai ketua jabatan pertandingan yang melancarkan Liga Super, penolong ketua jabatan pengadil, penolong ketua jabatan teknikal, dan penolong setiausaha agung.

Mula menceburi bidang tadbir urus bola sepak sebagai pegawai Pembangunan Teknikal dan Remaja Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1991, Saifuddin juga pernah menjawat tugas sebagai Pegawai Pertandingan dan Pengurusan Acara Serantau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari 2003 hingga 2007.

Selepas meninggalkan FAM pada 2009, Saifuddin dilamar oleh penganjur liga profesional Qatar, Qatar Stars League untuk memegang tugas sebagai penolong ketua pertandingan liga sebelum berkhidmat sebagai perunding teknikal Oman FA dengan skop tugas selaku Pengurus Pertandingan Liga dan Pelesenan Kebangsaan dari 2012 hingga 2019. Beliau juga adalah Komisioner Perlawanan FIFA dan AFC.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.