Shahrel Fikri akur 2021 sudah berakhir, tahun depan baru boleh main

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelibat Shahrel Fikri Md Fauzi sudah tidak dapat disaksikan dalam baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Malah, penyerang Selangor FC itu juga boleh melupakan hasrat untuk membuat comeback ke dalam skuad kebangsaan di Piala AFF Suzuki tahun ini.

Ini kerana dia yang mengalami kecederaan dalaman di bahagian pergelangan kaki pada awal Mei lalu masih dalam fasa pemulihan dan dijangka mengambil masa empat hingga lima bulan untuk pulih.

Justeru dia dinasihatkan doktor untuk tidak terburu-buru kembali ke padang dan hanya boleh kembali berlatih bermula tahun depan.

Mengakui situasi yang dialaminya ketika ini bukan mudah untuk diterima kerana masih belum puas beraksi pada musim ini, tetapi Shahrel Fikri perlu memikirkan kesan jangka masa panjang bagi mengelakkan kecederaan lebih teruk berlaku.

“Lepas pembedahan tempoh hari, sekarang dah tak rasa sakit sangat, cuma nak dapat keyakinan untuk berjalan normal balik tu saya masih rasa takut lagi.

“Memang la ikutkan doktor cakap dalam 4 hingga 5 bulan saya akan pulih, tetapi kalau nak terus masuk berlatih, takut benda yang tak diingini berlaku yang boleh menyebabkan saya tak dapat bermain buat selama-lamanya.

“Jadi doktor cakap memang kena ambil masa lebih panjang dan boleh kembali berlatih semula pada tahun depan, jadi Piala Malaysia terlepas, Piala AFF Suzuki pun terlepas.

“Mula-mula rasa mengeluh juga tapi saya percaya apa yang berlaku dekat kita sekarang ini, insyaAllah kita akan lebih berjaya di masa depan dan ia tak akan mematahkan semangat saya”, jelasnya.

Pemain berusia 27 tahun ini hanya menjaringkan satu gol bersama Selangor FC musim, dalam perlawanan pertama menentang Sri Pahang FC pada Mac lalu.

Dia bermain dalam kesemua perlawanan dan hanya terlepas aksi ke-13 Liga Super menentang Terengganu FC susulan kecederaan dialami.

“Walaupun tanpa saya selepas ini, saya harap Selangor dapat memberikan saingan yang lebih hebat sebaik sahaja liga kembali bersambung nanti.

“Dan untuk saya sendiri, saya akan lebih fokus kepada proses pemulihan ini dan berazam untuk menjadi pemain yang lebih cemerlang pada masa akan datang”, katanya yang menjaringkan 10 gol bersama Perak FC musim lalu.

Selangor FC ketika ini berada di tangga kelima Liga Super dengan 19 mata selepas mengharungi 13 perlawanan setakat ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.