Shahrizan Ismail, penjaga gol yang menjulang treble dengan dua pasukan berbeza

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

20 tahun berlalu sejak selepas menjadi salah seorang tonggak penting pasukan Kelantan yang menjuarai Liga Perdana Dua 2000, Shahrizan Ismail masih lagi ligat menabur bakti dalam saingan Liga Malaysia.

Dia adalah satu-satunya pemain dari skuad bimbingan Abdul Rahim Ahmad itu yang masih beraksi tatkala semua rakan sepasukan ketika itu antaranya Roslisham Md Nor, Fatrurazi Rozi, Hardi Ahmad, Rosairil Asrul, Saifulnizam Hussin, Rosli Omar, Tuan Kamree Tuan Yahya sudah lama menggantung but.

Pada usia menjangkau 40 tahun, penjaga gol dengan susuk tubuh kecil ini, belum menunjukkan tanda-tanda prestasi sudah dimamah usia, tatkala 2020 menjadi musim kedua dia menyarung jersi Kelantan United – bukan sebagai simpanan, tetapi penjaga gol utama!

Tahun lalu dia yang dikenali dengan panggilan Mat Chah menjadi tonggak instrumental skuad bimbingan Zahasmi Ismail itu yang menjulang Liga M3.

Kelantan United M3 Shahrizan Ismail, penjaga gol yang menjulang treble dengan dua pasukan berbeza

Shahrizan bermain dalam 24 daripada 26 perlawanan, mencatat 13 clean sheet dan memastikan Kelantan United muncul sebagai pasukan dengan rekod defensif terbaik.

Dalam saingan Liga Premier musim ini pula, Shahrizan telah beraksi dalam tiga daripada empat perlawanan, mencatat satu clean sheet seterusnya membantu Kelantan United menduduki tangga kedua liga.

Bercerita mengenai karier lebih 20 tahun Shahrizan sebagai pemain bolasepak professional, hanya Terengganu dan Selangor adalah dua pasukan luar Kelantan pernah diwakilinya.

Selepas mewakili Kelantan dalam Liga Simpanan dan Piala Razak ketika usia belasan tahun, Shahrizan beraksi beberapa musim bersama TNB Kelantan dalam Liga FAM.

Apabila dibawa masuk ke dalam skuad Liga Premier Kelantan pada 1999, dia berada di belakang Halim Napi, Azuan Othman dan Ridzuan Bulat.

Ketangkasan, keberanian dalam situasi satu lawan satu dan refleksi yang memukau, menyaksikannya beroleh peluang menjadi penjaga gawang utama pada tahun 2000, tahun Kelantan menjulang trofi Liga Perdana Dua.

Pada 2001, Shahrizan terpaksa bersaing hebat dengan Sany Fahmi yang ketika itu hadir dengan reputasi sebagai bekas penjaga gol skuad Olimpik 2000 untuk mengekalkan status penjaga gol nombor satu.

Namun kecederaan dialami Sani Fahmi ketika pertengahan musim memberi peluang kepada Shahrizan untuk kembali menjadi tonggak penting skuad K.Rajagobal ketika itu.

Berpindah ke Selangor, julang treble kali pertama

Selepas itu, buat kali pertama dia meninggalkan Kelantan apabila dipancing Selangor.

Bersama Red Giants, Shahrizan menjulang beberapa kejuaraan, paling hebat tentunya gelaran treble Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2005.

Selangor juara Shahrizan Ismail, penjaga gol yang menjulang treble dengan dua pasukan berbeza

Dia kemudiannya menyertai Terengganu selama dua musim sebelum kembali bersama Kelantan, ketika Tan Sri Annuar Musa mengambil alih pucuk pimpinan KAFA pada 2008, bertindak sebagai penjaga gol utama.

Pada 2009 dia memulakan musim sebagai pilihan kedua di belakang Halim Napi namun selepas penjaga gol veteran itu digantung kerana insiden menumbuk Aidil Zafuan, Shahrizan kembali merampas posisinya dan membantu Kelantan muncul naib juara Piala FA.

Kehadiran Syed Adney serta peningkatan hebat Khairul Fahmi bermula 2010, menyaksikan Shahrizan kemudian lebih banyak bertindak sebagai penjaga gol simpanan, namun dia tidak pernah mengecewakan setiap kali diturunkan sebagai pengganti.

Menjulang treble kedua dalam karier

Pada 2012, dia terus mendapat kepercayaan untuk kekal di dalam pasukan dan satu lagi sejarah gemilang tercipta dalam karier Shahrizan, apabila menjulang treble buat kali kedua setelah Kelantan menundukkan ATM untuk menjuarai Piala Malaysia.

Kelantan juara trebel Shahrizan Ismail, penjaga gol yang menjulang treble dengan dua pasukan berbeza

Ini sekaligus menjadikannya memahat nama sebagai satu-satunya penjaga gol yang pernah menjulang treble dengan dua pasukan berbeza.

Dia kekal menabur bakti dengan Kelantan sehingga 2018 dan pada ketika ramai menyangka kariernya sudah tiba ke penghujung, dia menambah satu lagi trofi bersama Kelantan United dan bersemangat tinggi mahu membawa pasukan itu layak ke Liga Super 2021.

Sesungguhnya nama Shahrizan akan kekal sebagai antara penjaga gol terbaik pernah dilahirkan Kelantan.

Foto kredit : HMetro, NSTP, chedinsphere.blogspot.com

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.