Shahrul Nizam Tak Dapat Dihubungi Kerana Berada Di Laut

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Shahrul Nizam Ros Hasni tidak dapat dihubungi sejak Khamis untuk dipanggil menyertai kem kebangsaan kerana pemain itu berada di laut.

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh pengurus pasukan Terengganu FC, Zulfadli Rozi.

Shahrul Nizam satu-satunya pemain yang tidak melapor diri di kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi mengharungi dua perlawanan persahabatan minggu depan, dan setelah tiada maklumbalas sehingga lewat malam Jumaat dia akhirnya tidak dibawa bersama ke Jordan.

“Sepanjang saya menjadi pengurus tak pernah berlaku lagi pemain tidak datang untuk panggilan skuad kebangsaan. Tetapi saya dihubungi pengurus TFC sebenarnya pemain ini dia ke laut.

“Jadi, bila dia (Shahrul Nizam) di sana memang tak dapat dihubungi, petang (Jumaat) baru dia mendarat dan dia juga terkejut,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi Sabtu.

Shahrul Nizam yang berasal dari Kelantan merupakan tonggak pertahanan Terengganu FC musim ini dan dia turut beraksi ketika perlawanan kedua Piala Malaysia menentang Selangor pada Rabu.

Namanya disenaraikan oleh Tan Cheng Hoe pada Khamis bagi menggantikan Dion Cools yang mengalami kecederaan.

Yusoff Mahadi tidak menolak kemungkinan penyenaraian saat akhir juga menyebabkan Shahrul Nizam tidak menyedari khidmatnya ditagih Tan Cheng Hoe kali ini.

Beliau bagaimanapun menyerahkan menyerahkan kepada Sekretariat sama ada pemain berusia 22 tahun itu akan dikenakan tindakan atau tidak meskipun Zulfadli memohon tiada tindakan diambil ke atas Shahrul Nizam, malah sanggup untuk memastikan di saat akhir pemainnya dapat menyertai pasukan.

“Kita tak nak perkara seperti ini berlaku lagi dalam mana-mana panggilan skuad kebangsaan pada masa hadapan,” katanya.

Shahrul Nizam yang membina karier bersama Kelantan sebelum ini pernah memperkuatkan pasukan B-23 kebangsaan di Sukan SEA dan Kejohanan AFF B-22 pada 2019.

Turut terpaksa digugurkan pada saat akhir kerana kecederaan adalah Akhyar Rashid yang digantikan pemain Kedah Darul Aman Fayyadh Zulkifli Amin serta Syahmi Safari yang digantikan Ariff Farhan Mohd Isa.

Sharul Nazeem Zulpakar pula mengalami kecederaan harmstring namun tiada pengganti dipanggil kerana kesuntukan masa.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.