Shahrul Nizam Turun Berlatih Tetapi Nampak Muram, Tidak Ceria

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelibat Shahrul Nizam Ros Hasni antara yang menjadi perhatian tatkala Terengganu FC kembali menjalani latihan selepas beberapa hari berehat.

Pemain pertahanan itu baru-baru ini menjadi bualan hangat susulan kegagalannya melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bagi mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa di Jordan.

Pemain berasal dari Kelantan itu mendapat panggilan saat akhir untuk menyertai kem kebangsaan bagi menggantikan Dion Cools yang cedera namun gagal dihubungi kerana telah turun ke laut.

Berita Berkaitan : Tunggu Sampai Ke Malam Tak Dapat Dikesan, Shahrul Nizam Sah Ditinggalkan
Berita Berkaitan : “Niat Saya Turun Laut Untuk Tolong Keluarga” – Shahrul Nizam Kecewa Jadi Sasaran Kecaman

Ketiadaannya menyebabkan Harimau Malaya terbang ke Jordan dengan hanya 22 pemain dan Shahrul Nizam hanya mengetahui mengenai namanya berada dalam senarai call-up pada keesokannya.

Meskipun kegagalannya melapor diri tidak disengajakan, dia menjadi sasaran kecaman penyokong dengan pelbagai tohmahan dilemparkan, malah Persatuan Bolasepak Malaysia juga dilaporkan bersedia mengambil tindakan ke atasnya.

Pengendali Terengganu FC Nafuzi Zain mengakui pemain itu tidak kelihatan ceria di sesi latihan sepertimana sebelum ini dan mengharapkan dia tidak terlalu terkesan dengan isu tersebut.

Nafuzi berharap bekas pemain skuad B-23 kebangsaan itu yang juga tonggak utama pertahanan Terengganu FC akan segera memulihkan fokusnya tatkala pasukan sedang dalam persiapan menghadapi baki saingan Piala Malaysia yang akan kembali bersambung hujung bulan ini.

“Daripada raut wajahnya, saya boleh nampak keadaannya tidak seperti sebelum ini. Mungkin dia terlalu banyak berfikir tentang kata-kata daripada penyokong atau tentang hukuman yang akan dihadapinya.

“Saya kini mencuba untuk banyak bercakap dengannya, memberikan nasihat dan semangat. Perkara ini berlaku agar dapat dijadikan pengajaran buat dirinya sendiri.

“Saya rasa mungkin masih ada banyak ruang untuk diperbaikinya bagi masa depannya,” kata Nafuzi Zain dalam Nadi Arena.

Terengganu FC ketika ini sedang memimpin Kumpulan B dengan enam mata setelah memenangi kedua-dua aksi menentang Kuching City dan Selangor FC. Mereka akan bertemu Perak FC pada 30 Oktober.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.