Shakir Ali pernah dilayang kad merah dalam tiga perlawanan berturut-turut

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyokong mungkin pernah menyaksikan sebuah pasukan tidak bernasib baik untuk beraksi dengan kekurangan pemain disebabkan layangan kad merah dalam beberapa perlawanan berturut-turut.

Tetapi untuk menyaksikan seorang pemain yang sama, dilayangkan kad merah dalam tiga perlawanan berturut-turut, mungkin sesuatu yang ‘rare’ atau jarang disaksikan.

Itulah yang berlaku kepada Shakir Ali ketika dia bermain untuk Kelantan pada tahun 2014 sehingga menimbulkan kekecewaan penyokong dan dia dilabel sebagai pemain yang panas baran.

Shakir yang menyertai Kelantan dari Negeri Sembilan merupakan seorang daripada tiga penyerang tempatan dipertaruhkan Kelantan musim itu selain Khairul Izuan Rosli dan Fakri Saarani.

Pemain tinggi lampai itu menerima kad merah pertama dalam perlawanan Piala AFC menentang Yangon United pada 26 Februari 2014.

Kelantan tewas perlawanan di Stadium Thuwuna itu dengan keputusan 3-5. Shakir menerima layangan kad merah pada minit ke-74 daripada pengadil Lee Min Hu kerana kekasaran ke atas pemain Yangon ketika kedudukan 2-4.

Ia menyaksikannya digantung untuk perlawanan kedua Piala AFC menentang South China.

Dalam perlawanan seterusnya pada 8 Mac iaitu aksi Liga Super menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, Shakir Ali sekali lagi menerima layangan kad merah selepas sengaja menyepak pemain pertahanan Lions XII ketika kedudukan 1-1.

Kelantan bagaimanapun bernasib baik menang perlawanan itu menerusi jaringan masa kecederaan Francis Forkey Doe.

Kad merah itu menyaksikan Shakir Ali digantung perlawanan seterusnya menentang Pahang, bermakna dia akan terlepas dua perlawanan berturut-turut termasuk aksi lawan South China.

Selepas menjalani penggantungan dua perlawanan, Shakir kembali ke dalam pasukan ketika menentang Vissai Nin Binh pada 18 Mac di Kota Bharu.

Nak dijadikan cerita, dia dilayangkan kad merah sekali lagi, buat kali ketiga berturut-turut, kali ini kerana mengasari Le Van Duyet pada minit ke-33. Dia didapati bertindakbalas terhadap kekasaran dilakukan Van Duyet terlebih dahulu.

“Saya sedar ramai penyokong Kelantan mengutuk tindakan itu, tetapi apa yang mampu saya lakukan, perkara sudah berlaku.

“Apa boleh saya katakan, insiden itu tidak sengaja dan cukup pantas. Agak malang nasib saya, tindak balas ke atas pemain lawan itu diperhatikan pengadil sedangkan dia tidak melihat kekasaran awal berlaku kepada saya,” katanya mengulas insiden kad merah ketiga itu.

Kelantan yang terpaksa bermain sembilan pemain setelah Khairul Izuan turut dilayangkan kad merah di separuh masa kedua, tewas perlawanan itu dengan keputusan 2-3.

Penasihat KAFA ketika itu Tan Sri Annuar Musa kemudiannya mencadangkan agar pemain itu diberi kaunseling agar dapat membantunya mrngawal emosi serta tidak mengulangi perbuatan tidak profesional yang merugikan pasukan.

Foto : TRWFC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.