Shakir Hamzah akui terkilan kontrak tidak disambung Kedah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dua musim menabur bakti, pemain pertahanan import  dari Singapura, Shakir Hamzah mengucapkan selamat tinggal kepada Kedah.

Pemain yang lebih sinonim dengan panggilan Mat Ket dalam kalangan penyokong Kedah itu menyatakan belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan tetapi mengakui terkejut apabila mendapati namanya disisihkan ketua jurulatih Aidil Shahrin Sahak bagi saingan musim baru Liga Malaysia.

Tidak ada gambaran jelas mengenai kenapa Shakir yang menjadi tunjang pertahanan disingkirkan tatkala dia antara pemain utama dalam pasukan dan telahpun menjadi salah seorang pemain kesayangan penyokong Lang Merah.

Sejak menyertai Kedah, Shakir Hamzah telah membantu pasukan itu menjuarai Piala FA dan muncul naib juara Piala Malaysia 2019, manakala pada tahun ini memacu pasukan menduduki tangga kedua seterusnya menyambar slot bermain di Piala AFC 2021.

“Buat masa ini saya belum bersedia menjawab sebarang persoalan, tetapi yang pasti ini musim terakhir saya di bumi Kedah.

“Walaupun saya amat terkilan dengan keputusan yang dibuat jurulatih namun saya terima bahawa rezeki saya hanya setakat di sini bersama sebuah pasukan yang hebat seperti Kedah, khidmat saya sampai di sini sahaja.

Shakir Hamzah IG Shakir Hamzah akui terkilan kontrak tidak disambung Kedah

“Saya amat menghargai tunjuk ajar diberikan pemain-pemain senior dan pemain-pemain muda sepanjang berada di sini, kerana tunjuk ajar mereka saya menjadi seorang pemain yang lebih matang dan sangat berdisiplin dari sebelumnya.

“Pengalaman yang sangat berharga ini akan saya ingat sampai bila-bila, terima kasih seluruh rakyat Kedah. Anda yang terbaik pernah saya jumpa, terima kasih kerana terima saya dan keluarga dengan baik selama dua tahun.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan yang sentiasa menitikberatkan kebajikan saya dan keluarga di sini dan melayan saya dengan baik, terima kasih kepada rakan sepasukan, kenalan luar dan penyokong Kedah. Ada jodoh kita bertemu lagi,” tulisnya di instagram peribadi.

Tetapi status itu kemudiannya telah disunting semula beberapa jam kemudian, dan Shakir sekadar meletakkan kapsyen pendek ‘Selamat Tinggal 2020, terima kasih Kedah untuk segala memori indah’.

Selain Shakir seorang lagi pemain import yang tidak disambung kontrak adalah Amin Nazari manakala nasib Kipre Tchetche dan Kpah Sherman akan ditentukan dalam tempoh terdekat.

Foto utama : Stadium Astro

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.