Shakir Shaari wira tak didendang, no.6 terbaik pada zamannya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain sayap Kedah, Zaquan Adha Abdul Radzak melabel bekas pemain tengah Kelantan, Shakir Shaari, sebagai antara pemain tengah bertahan (posisi no.6) terbaik pernah disaksikan Liga Malaysia ketika zaman gemilangnya.

Menurutnya, Shakir Shaari telah menjadi nadi penting yang mengangkat Kelantan sebagai sebuah pasukan digeruni maka tidak hairanlah dia berjaya menempa nama sebagai kesayangan penyokong Kelantan ketika mewakili The Red Warriors dari 2010 hingga 2013.

Shakir Shaari membentuk gandingan ideal bersama Badhri Radzi yang menjadi siulan hebat pada sekitar sedekad lalu dengan kemuncaknya adalah dia menjadi tunjang menghadiahkan kejuaraan trebel bersejarah kepada Kelantan pada 2012.

“Terus terang saya cukup suka permainan Shakir kerana dengan adanya dia memegang peranan pemain nombor enam, saya rasa barisan pertahanan banyak dibantu oleh kekentalan Shakir.

“Dia seorang yang tenang dan tidak mudah cemas, boleh dikatakan wira tidak didendang kepada pasukan memandangkan peranan posisi seperti Shakir tidak banyak dilihat oleh peminat.

“Dalam masa sama, teknik hantaran dimilikinya sentiasa membuka ruang kepada rakan sepasukan dalam mencari jaringan dan ini menambah kualiti yang ada padanya.

“Saya sudah mengenali Shakir sejak di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) lagi dan tahu kualiti yang dia ada, jadi saya setuju jika mengatakan dia adalah pemain tengah terbaik bagi posisinya itu pada zaman dia bermain terutama ketika mewakili Kelantan dan JDT,” kata Zaquan Adha.

Shakir yang turut pernah menyarung jersi kebangsaan meninggalkan Kelantan pada 2014 untuk menyertai Johor Darul Takzim dan kini sudahpun menyertai barisan kejurulatihan pasukan Harimau Selatan itu.

Zaquan Adha menyenaraikan Shakir Shaari bersama-sama Farizal Marlias, Ching Hong Aik, Khairul Anuar Baharom, Aidil Zafuan Abd Radzak,, Rizal Ghazali. Safiq Rahim, Nazmi Faiz, Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh dan Christian Bekamenga dalam kesebelasan terbaik Liga Malaysia pilihannya.

Bagi penjaga gol, Farizal Marlias terus menjadi pilihan sementara barisan pertahanan dibarisi Ching Hong Aik, Khairul Anuar Baharom, Aidil Zafuan dan Rizal Ghazali manakala penyerang pula milik bekas pemain import Negeri Sembilan, Christian Bekamenga.

Mengenai Hong Aik, Zaquan berkata : “Walaupun mempunyai fizikal yang kecil, Hong Aik mempunyai semangat cukup tinggi di atas padang dan cukup mementingkan kecergasan sehingga dia masih mampu bersama Negeri Sembilan pada umur 37 tahun.

“Sukar untuk kita jumpa pemain berbangsa Cina pada waktu itu dan dia antara yang saya rasa kagum ketika mula-mula bersama Negeri Sembilan pada musim 2005-2006, iaitu tahun yang menyaksikan kami juara Liga Super.

“Dia adalah seorang yang begitu pendiam namun di atas padang, kita boleh merasakan kehadirannya kerana dia begitu bekerja keras demi pasukan,” ujarnya.

Foto ehsan : shazlishamsuddin/redwarriors.com

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.