Pemain pertahanan pasukan Liga M3, Armed Forces FC (AFFC), Sharzizi Azmi merupakan antara anggota bertanggungjawab membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur.
Bukan sahaja Sharzizi bertindak sebagai ‘frontliner’, tetapi isterinya yang merupakan jururawat juga sama sekaligus menyebabkan masa kedua-duanya untuk bersama bersama anak-anak begitu terhad.
“Isteri saya merupakan seorang jururawat dan dia juga jarang berada di rumah, jadi masa yang ada antara kami sekeluarga memang tidak banyak. Tetapi tugas harus dilaksanakan dan kami berdua memahami tanggungjawab masing-masing untuk rakyat Malaysia bagi mengatasi wabak ini.
“Setakat ini, anggota tentera yang bertugas tiada masalah dalam membantu pihak PDRM dan tiada lagi isu-isu terlampau besar membabitkan orang awam yang perlu kita ambil tindakan berat. Cuma, tahap kedegilan tu masih ada dan baik PDRM dan kami sendiri perlu bertegas untuk mereka semua ini tidak keluar rumah sesuka hati,” jelasnya yang berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Sharzizi mengakui keinginan untuk kembali beraksi di padang cukup tinggi tatkala sudah lebih sebulan saingan liga ditangguhkan justeru mengharapkan agar semua pihak dapat bekerjasama dalam usaha menangani wabak COVID-19 ini.
“Kalau kita sama-sama terus kuat lawan wabak ini, saya percaya semuanya akan pulih dengan segera dan semua pasukan dapat kembali beraksi.
“Sekarang pun kami di tangga kedua, jadi ia tidak patahkan semangat kami untuk terus beraksi cemerlang selepas ini, cuma yang penting sekarang adalah kesihatan dan keselamatan semua orang,” katanya.
AFFC ketika ini di tangga kedua Liga M3, manakala KL Rovers pula sedang mendahului saingan dengan kelebihan dua mata.
Foto : MFL