Shebby Kurang Yakin Dengan Dominic, Minta Letak Dion Cools Sebagai ‘Sweeper’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh kurang yakin dengan gandingan Dominic Tan dan Dion Cools yang dijangka menjadi pertaruhan di benteng pertahanan apabila Malaysia turun menentang Indonesia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala AFF 2020, 19 Disember ini.

Menurut Serbegeth atau Shebby kepada BH Sukan, kedua-dua pemain itu mungkin bergelut untuk membentuk persefahaman dan keserasian apatah lagi Dion Cools baru sahaja menyertai kem negara pada Khamis.

Menganggap gandingan mereka sebagai berisiko tinggi, Shebby berharap Tan Cheng Hoe akan memaksimumkan keupayaan pemain dan dalam masa sama memberikan cadangan supaya Dion Cools diletakkan sebagai sweeper.

“Dalam situasi yang dihadapi sekarang, gandingan Cools dengan Dominic berisiko tinggi. Cabaran cuaca bagi Cools boleh menggugat prestasinya manakala Dominic masih belum menunjukkan bukti yang dia layak beraksi di lapangan antarabangsa.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk beraksi dengan tiga bek tengah. Gandingan Rizal Ghazali, Cools serta Dominic sebagai pertahanan bertiga akan membantu Dion Cools sebagai ‘sweeper’.

“Di posisi ‘sweeper’, Cools boleh mengawal keadaan bertahan tanpa membazir tenaga. Kita memerlukan seorang pertahanan yang tenang serta vokal dan di sini saya lihat bahawa Dion Cools sahaja yang paling layak,” katanya.

Skuad negara sebelum ini telah kehilangan khidmat Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Saad yang terpaksa diketepikan kerana kecederaan harmstring.

Dominic Tan yang tampil sebagai pengganti pada perlawanan menentang Vietnam, dikecam hebat kerana melakukan beberapa kesilapan mudah dan menjadi lubuk di barisan pertahanan sehingga membolehkan lawan mencatat kemenangan selesa 3-0.

Berita Berkaitan : Dominic Tan Akui Kurang Bermain Dan Selalu Menjadi Simpanan Punca Tidak Perform

Dalam pada itu, Tan Cheng Hoe mengakui di saat tugas berat digalas barisan pemain Harimau Malaya, permainan cantik tidak lagi menjadi keutamaan dan mahu mereka melakukan apa sahaja untuk menang,

“Sudah tentu keputusan lagi penting daripada permainan bola sepak yang menarik. Ini perlawanan yang perlu kita menangi tak kiralah berapa pemain yang kita ada dan apa jua situasi yang kita hadapi ketika ini.

“Kalau kita tergesa-gesa ataupun bermain dalam tekanan, kita tidak akan boleh beraksi seperti mana yang kita mahukan. Apa yang penting pemain terus percaya pada kemampuan diri dan rakan sepasukan.

“Kita perlu terus bekerja lebih keras untuk memastikan kita dapat mencipta lebih banyak peluang bagi mendapatkan gol. Pertahanan juga perlu berhati-hati kerana mereka ada pemain yang sangat pantas dan perlu dihentikan daripada serangan balas pantas.

“Kelancaran bola ketika menyerang dan bertahan perlu lebih baik kerana selalunya kita dibolosi disebabkan kita ‘switch off’ dalam perlawanan,” kata Cheng Hoe.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.