Shukor Adan : ‘Kurang ajarnya orang tua ni kadang nak gi training kita kena ambik’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas penyerang sensasi Liga Malaysia, Azman Adnan telah mengundang pemain pertahanan veteran Shukor Adan sebagai tetamu dalam program borak-borak bola miliknya sendiri di saluran youtube The Azman Adnan.

Gelagat kedua-dua mereka dalam program tersebut nyata cukup mencuit hati dengan masing-masing berkongsi pelbagai kisah hubungan mereka di dalam dan luar padang kepada penyokong bolasepak tempatan.

Ketika memperkenalkan Shukor Adan sebagai tetamu, Azman Adnan mengusik dengan melabelnya sebagai pemain mulut paling ‘lahabau’ manakala Shukor pula membalas dengan mengatakan Azman Adnan bukan ‘betul’ orangnya.

“Saya datang (jadi tetamu) bagi sokongan kepada dia, kalau tak datang boleh putus hubungan adik-abang ni. Saya dah kenal dia memang lama, idola saya daripada kecik.

“Saya dulu asalnya penyerang, jadi kalau main saya akan tiru larian Azman Adnan, tiru gerakan Azman Adnan, dan ketika Stadium Kubu itu wujud, bila Selangor main, saya akan kayuh basikal, panjat pagar, semata-mata nak tengok Azman Adnan.

“Mungkin Allah aturkan perancangan, pada tahun 2000, Azman Adnan datang ke Negeri Sembilan, hari pertama jumpa dia, wow idola gua di depan mata ni, ingat lagi tepi sungai kat kedai mamak.

“Ketika usia remaja memang Azman Adnan satu nama yang wow, satu hari aku nak jadi macam dia. Kalau nak tahu ketika itulah Pulau Pinang offer saya, tapi disebabkan Azman Adnan saya kekal dengan Negeri Sembilan dan dapatlah beraksi dengannya.

“Sejak dari itu hubungan saya dengan dia amat rapat, macam isi dengan kuku. Mana-mana kami nak pergi memang saya dengan dia, sampaikan kadang-kadang kurang ajarnya orang tua ni nak pergi latihan pun kita kena ambik dia, dia duk kat Seremban 2, kita kat Senawang.

“Tapi itulah benda tak dijangka-jangka, selama empat atau lima tahun jugaklah beraksi dengan Azman Adnan, itu peluang yang takkan dilupakan lah bersama idola sebenar,” ujar Shukor Adan.

Mengenai sikap bekas penyerang kebangsaan yang kini berusia 50 tahun itu, Shukor berkata, “Dalam bahasa kasar mungkin orang kata bangang ni dia ni, dia jenis happy go lucky, ada satu karakter yang orang lain tak tahu tapi saya tahu sebab saya yang (selalu) bersama dia.

“Mungkin ada orang akan kata Azman Adnan malas berlatih tetapi mereka silap, kadang-kadang dia sudah turun training seawal pukul 4 petang untuk buat extra training. Itulah yang ramai orang tidak tahu.

“Walaupun untuk latihan kecergasan ini Azman Adnan ini kita tahu sahajalah, dia seorang penyerang tetapi banyak kali saya mengikutinya ke padang lebih awal untuk dia melakukan program latihannya yang kita sendiri tidak jangka.

“Dalam padang dia tak marah orang, tapi dia bagi ilmu kepada pemain muda macam saya, contoh macam saya main attacking midfielder, dia bagitahu apa yang saya kena faham serta patut dan tak patut saya buat, saya banyak belajar ilmu bolasepak dari Azman Adnan.”

Azman Adnan pula memberitahu, “Masa mula-mula tengok dia, saya dapat tengok karakter Shukor Adan dia seorang yang serius dalam bolasepak dalam masa sama ada karakter, karisma sebagai ketua pasukan.

“Dia boleh membimbing pemain muda, walaupun dia budak, tapi dia punya cara command dalam padang, dia boleh tampilkan yang terbaik, dia berani menegur, tapi dengan saya takde lah. Dia orang Melaka, jadi bukan bahasa indah tau. Dari awal saya memang tahu, ke mana sahaja dia pergi, dia akan jadi kapten.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.