Shukor tabik Rajnikandh & Khairul Anuar yang membentuknya menjadi pemain disegani

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain berpengalaman, Shukor Adan menghargai peranan besar dimainkan B.Rajnikandh dan Khairul Anuar Baharom dalam membentuk dirinya menjadi pemain yang cukup disegani dalam kancah Liga Malaysia.

“Tanpa mereka, mungkin saya pemain yang berbeza dan saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka berdua kerana telah membentuk ‘Shukor Adan’ yang dikenali seperti hari ini,” kata pemain berusia 40 tahun itu.

Shukor Adan yang beraksi dengan Kuala Lumpur tahun ini berkata dia bertuah untuk mendapat tunjuk ajar Rajinikandh dan Khairul Anuar ketika bersama skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada 1998 dan menyifatkan karakter mereka berdua banyak mempengaruhi dirinya.

“Kalau hendak dikongsikan, masa awal pembabitan saya di Negeri Sembilan, Rajinikandh bagi saya adalah seorang pemain yang ada aura tersendiri sebagai seorang ketua di atas padang walaupun dia bukan seorang yang banyak cakap.

“Namun dia banyak mengajar saya cara membaca permainan yang betul tambahan pada waktu itu saya beraksi di bahagian tengah dan saya cukup rasa bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripadanya.

“Khairul pula menjadi contoh dalam soal semangat juang buat pasukan apabila karakternya yang cukup keras dan tidak kenal erti mengaku kalah, begitu mengagumkan.

“Siapa sahaja yang kami jumpa di atas padang biarpun mereka adalah kawan di luar padang, Khairul selalu ingatkan pedulikan itu semua kerana apa yang penting adalah kemenangan buat pasukan bila turun beraksi,” katanya.

Rajnikandh dan Khairul Anuar Baharom yang bermain sebagai pertahanan tengah disenaraikan Shukor Adan dalam Best XI pilihannya sementara pertahanan kiri pula Rosdi Talib manakala S.Kunanlan di pertahanan kanan.

Azmin Azram Abdul Aziz sebagai penjaga gol sementara Norhafiz Zamani Misbah, Yusri Che Lah dan Luciano Figueroa mengemudi tengah manakala Azman Adnan, Safawi Rasid dan Indra Putra Mahayuddin mengetuai barisan depan.

Baca : Tiada pemain sebagus Rosdi Talib di bek kiri

Baca : Indra Putra, pendiam dengan karakter yang menakjubkan

BERMULA SEBAGAI PENYERANG

Satu lagi perkara menarik mengenai Shukor Adan yang mungkin tidak ramai ketahui ialah dia sebenarnya memulakan karier sebagai penyerang ketika di awal pembabitan bersama Negeri Sembilan sebelum bermain di bahagian tengah dan pertahanan pada 2009.

Justeru, tidak hairanlah Azman Adnan juga merupakan seorang lagi pemain kesukaan Shukor ketika dia berjaya menempatkan diri dalam skuad utama Negeri Sembilan pada tahun 2000.

“Dia sememangnya idola saya ketika saya hadir di Negeri Sembilan malah hubungan kami umpama abang adik sehingga kami ke Selangor pada 2002 dan saya cukup mengaguminya sehingga sekarang.

“Azman sememangnya seorang penyerang tulen yang terbaik kita pernah miliki dan masih ingat lagi pada tahun 2000, saya bertuah dapat diletakkan dalam kesebelasan utama bersamanya.

“Saya diletakkan posisi pemain tengah menyerang bagi membantu Azman Adnan dan Effendi Malek, selaku dua penyerang pada waktu di Negeri Sembilan, memang antara pengalaman awal yang saya tidak boleh lupakan,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.