Shukor berpendapat belum masanya jatuh hukum ke atas De Paula

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Walaupun dikritik hebat gara-gara prestasi hambar ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), belum tiba masanya untuk menggugurkan Guilherme de Paula dari kesebelasan utama apabila Harimau Malaya turun menentang Vietnam pada 11 Jun ini.

Bekas kapten kebangsaan, Shukor Adan berkata pemain dari Brazil itu masih lagi taruhan terbaik dan mungkin dia boleh buat lebih baik mengambil kira lawan kali ini adalah seteru dari Asia Tenggara, dalam masa sama ia peluang terbaik De Paula membuktikan menaturalisasikannya bukan satu kesilapan.

“Lupakan sahaja kekalahan kepada UAE, benda dah lepas. Untuk aksi seterusnya, saya tetap mahu De Paula yang bermain (di barisan depan). Kalau lawan Vietnam pun dia tak dapat laksanakan tugasnya sepertimana kita harapkan, maka barulah kita boleh kata dia gagal,” kata Shukor Adan.

Penampilan ketika tewas kepada UAE pada 4 Jun lalu dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, merupakan penampilan sulung kompetitif De Paula dalam jersi Harimau Malaya.

Dia gagal memberi impak dan menjadi sasaran kecaman kerana bermain seolah langsung tiada semangat, lebih banyak berjalan dari mengejar bola.

Sebelum itu dia ada beraksi ketika menentang Kuwait dan menjaringkan gol, namun perlawanan itu hanya perlawanan latihan yang tidak diiktiraf FIFA.

Sementara itu, Shukor Adan juga berharap dengan kembalinya Brendan Gan ke dalam pasukan selepas menjalani penggantungan akan menambah kekuatan barisan tengah Harimau Malaya seterusnya memacu pasukan melakar keputusan positif.

Barisan tengah dibarisi Nor Azam Azih, Syamer Kutty Abba dan Liridon Krasniqi ketika menentang UAE boleh dikatakan lumpuh dan terlalu pincang, seperti kapal kehilangan nakhoda dengan kegagalan mengawal bola mahupun mencipta sebarang gerakan kreatif dan ia boleh dikatakan kelemahan paling ketara skuad Harimau Malaya.

Malaysia wajib menang baki dua perlawanan menentang Vietnam dan Thailand (15 Jun) jika mahu meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya, sebarang keciciran mata akan menyaksikan peluang terkubur.

Skuad negara ketika ini di kedudukan keempat Kumpulan G dengan sembilan mata, terikat sama mata dengan UAE dan Thailand, ketinggalan dua mata di belakang Vietnam.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.