Siapa kata Valencia untuk dijual?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Valencia CF bukan untuk dijual”, demikian tegas Presiden kelab La Liga itu, Anil Murthy.

Anil Murthy terpanggil untuk membuat kenyataan tersebut sebagai menjawab spekulasi pengambilalihan kelab itu oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Johor Darul Takzim (JDT). Malah selepas tersebar spekulasi itu, jutawan dari Itali, Andrea Radrizziani turut dikaitkan berminat membeli kelab itu.

“Rakan saya memberitahu saya mengenai muatnaik Instagram milik Putera Johor (TMJ). Saya bercakap dengan Peter Lim mengenai perkara ini dan tiada tanda-tanda untuk menjual kelab ini,” menurut Anil Murthy seperti dilaporkan media di Sepanyol.

Ketika ini, Valencia CF adalah milik ahli perniagaan Singapura, Peter Lim yang mengambil alih kelab itu melalui syarikatnya, Meriton Holdings dengan bidaan berjumlah €420 million (RM2 billion) pada 2014.

Bagaimanapun Peter Lim dan juga Anil Murthy kedua-duanya menjadi sasaran kritikan peminat Valencia kerana dianggap tidak faham mengenai bolasepak dan banyak membuat keputusan yang merugikan seperti menukar pengurus tanpa sebab yang kukuh serta menjual pemain bintang pasukan.

Antara keputusan tersebut termasuklah pemecatan mengejutkan Marcelino pada September 2019 dan perpindahan Dani Parejo dan Francis Coquelin ke Villareal; Ferran Torres menyertai Manchester City; Rodrigo Moreno berpindah ke Leeds United manakala Cristiano Piccini dipinjamkan ke Atalanta.

Kedudukan kewangan semasa pasukan yang pernah muncul juara La Liga sebanyak enam kali itu juga parah, di mana mereka dipercayai terpaksa beroperasi dengan kos 40 peratus kurang dari apa yang mereka belanjakan sebelum ini.

Tunku Ismail beberapa hari lalu memberi bayangan mahu mengambil alih kelab itu apabila memuatnaik pelbagai info dan statistik mengenai Valencia CF termasuk ranking serta nilai semasa kelab itu yang berharga €408 juta atau bersamaan RM1.9 billion.

“Saya bukan ahli perniagaan, saya seorang Putera Raja. Wang tidak mendorong saya, hanya kegemilangan dan mencipta sejarah adalah motivasi saya. Bukan rahsia bahawa saya meminati bola sepak, saya sangat bersemangat.

”Saya bukan baru dalam bola sepak, saya berjaya membina sebuah kelab (JDT FC) dari setiap tahun bersaing di zon penyingkiran tetapi kini mendominasi kejuaraan setiap musim. Saya sudah memenangi 16 gelaran dalam lapan musim. Kami adalah kelab terbesar di Asia Tenggara dan salah satu terbesar di Asia.

“Saya ingin mengembangkan empayar saya, melebarkan sayap saya dan mencari cabaran baru. Saya bukan orang yang akan menukar logo atau tradisi kelab anda. Seperti saya katakan tadi, saya seorang kerabat Raja dan bukan ahli perniagaan. Saya di sini untuk capai kejayaan dan melakar sejarah.

“Apa yang diperlukan Valencia? Mereka perlukan seseorang yang tahu tentang bola sepak, dahagakan kejayaan, ghairah dan memahami betapa besarnya Valencia sebagai sebuah kelab. Langkah pertama, kita memerlukan orang bola sepak di kelab, noktah,” tulisnya di instastory peribadi.

Sebagai rekod, rakyat Malaysia yang memiliki kelab di luar negara adalah Tan Sri Vincent Tan (Cardiff City dan KV Kortrijk) serta Tan Sri Tony Fernandes (Queens Park Rangers).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.