Siapa Pula Buat Cerita Ni? Wang Ringgit Tak Boleh Beli Jiwa Nor Azam Azih

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sejak beberapa hari lalu, atau lebih tepat selepas berakhir perlawanan Sri Pahang menentang Johor Darul Takzim yang berkesudahan 2-2, bertebaran gosip liar menyatakan bahawa pemain tengah Sri Pahang, Nor Azam Azih akan menyertai pasukan selatan tanah air itu.

Tiada angin, tiada ribut, hanya kerana dia tengah ‘perform’ musim ini dan kembali meletakkan dirinya sebagai salah seorang jeneral padang terbaik Liga Malaysia, selain tampil cemerlang di hadapan Benjamin Mora, dia terus dikatakan dia akan menjadi rekrut terbaru harimau selatan.

Setakat mengaitkan dia dengan JDT mungkin perkara biasa, tetapi beberapa pihak nampak seperti menangguk di air keruh apabila menulis seolah-olah dia sah akan angkat kaki dan mewujudkan tanggapan buruk terhadap pemain itu serta kritikan yang tidak sepatutnya terhadap JDT.

Malah, Nor Azam sendiri seperti sudah lali dengan gosip yang entah datang dari mana, menekankan sekali lagi bahawa fokusnya hanyalah untuk Sri Pahang.

“Cerita saya akan menyertai JDT hanya spekulasi, ia bukan perkara baru dan saya tidak tahu dari mana dan siapa yang buat cerita ini. Ketika ini saya cuma memikirkan tentang Pahang dan tekad mahu mencapai sesuatu untuk pasukan musim ini setelah kita melalui beberapa musim yang mengecewakan,” ujar pemain itu.

Sementara pengendali Sri Pahang, Christophe Gamel pula menekankan bahawa wang ringgit tidak dapat membeli jiwa Nor Azam, namun dia bersikap terbuka dengan masa depan pemain itu.

“Saya tahu hati Azam adalah bersama Pahang, ia bukan soal wang, kemasyhuran, atau kegemilangan kerana dia seorang yang sangat merendah diri. Saya tidak melihat Azam akan menyertai Johor tetapi itu adalah pilihannya. Dia ada kontrak yang perlu dihormati,” ujar Gamel dipetik dari Mingguan Malaysia.

Nor Azam ketika ini merupakan pemain paling lama di dalam skuad tok gajah dan satu-satunya pemain kebangsaan dari pasukan pantai timur itu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.