Siapa sangka, uncle pemandu teksi ini pernah dua kali beraksi di Sukan Olimpik

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Melihat kelibat pakcik tua yang memandu teksi di tengah kesibukan bandar metropolitan Lembah Klang sekitar beberapa tahun lalu, tidak ramai yang tahu dia adalah legenda sukan tanah air yang pernah dua kali mewakili negara dalam acara berbasikal di Sukan Olimpik, Ng Joo Pong.

Selepas meninggalkan karier sebagai atlet pada awal 70-an, Joo Pong telah terlibat dalam perniagaan menjual lori dan trak, dan mula membawa teksi miliknya sendiri pada 2002. Mengimbau nostalgia lalu, basikal telah menjadi sebahagian daripada kehidupan Joo Pong, cinta dan semangatnya kepada dunia berbasikal cukup kuat.

Sehinggakan kemalangan dengan sebuah lori di Batu 3 yang mengakibatkan tulang rahang dan giginya patah masih tidak mampu menyekatnya memenangi perlumbaan tajaan Gold Leaf dan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Mexico 1968.

“Saya biasa berlatih dengan mengayuh basikal dari Petaling Jaya ke Klang dengan mengekori belakang lori, ada satu hari lori mengalami kerosakan dan berhenti secara tiba-tiba, saya tak sempat brek dan terlanggar menyebabkan kecederaan teruk termasuk di belakang.

“Doktor menasihatkan untuk berehat selama setahun, ambil vitamin. Tetapi dengan tiada duit, bagi saya makan capati dan susu segar dah cukup, selepas tiga bulan saya kembali dan berjaya layak ke Sukan Olimpik buat kali kedua.

Bermula dengan basikal yang diperbuat daripada besi buruk

Ketika layak ke Sukan Olimpik kali pertama pada 1964, Joo Pong baru sahaja berusia 18 tahun. Bagaimanapun, pada hakikatnya beliau tidak pernah memiliki sebuah basikal yang benar-benar berkualiti.

“Tidak seperti atlet pada hari ini, sepanjang bergelar pelumba basikal saya tidak pernah memiliki sebuah basikal yang bagus. Basikal pertama yang saya gunakan diperbuat daripada besi buruk, iaitu ketika saya bermula pada usia 12 tahun. Saya juga pernah menjual tiket larian amal sekolah saya dengan harapan dapat menang hadiah utama, sebuah basikal lumba, tapi saya cuma dapat hadiah saguhati sebuah basikal biasa.

“Beberapa tahun selepas itu, melihat minat saya yang mendalam kepada lumba basikal, ayah saya belikan sebuah basikal lumba Carlton berharga RM270. Saya sentiasa mahu bersama basikal saya, waktu ketika di sekolah saya sentiasa fikirkan tentang basikal saya, itulah rutin saya, basikal menjadi dunia saya.

Ng Joo Pong Siapa sangka, uncle pemandu teksi ini pernah dua kali beraksi di Sukan Olimpik

Basikal Carlton itu jugalah yang menjadi pencetus kepada karier gemilang selama 12 tahun Joo Pong sebagai seorang pelumba basikal – bermula dengan mengayuh di kejohanan tempatan, kemudiannya Kejohanan Terbuka Malaya, Kejohanan Berbasikal Asia dan kemuncaknya di Sukan Olimpik.

“Satu hari ketika sedang berbasikal bersama rakan karib saya (arwah) Rosli Kader di Jalan Duta, saya telah berkesempatan berborak dengan beberapa pelumba basikal yang berkumpul di situ untuk latihan Sukan Komanwel. Mereka menyuruh saya menyertai Pertandingan Terbuka Malaya, mengejutkan kerana saya memenangi pingat emas ujian masa 1km, dan tempat kedua ujian masa 5km, di belakang Rosli dan terpilih ke dalam pasukan kebangsaan.

“Beberapa bulan kemudian saya memenangi empat emas di Pertandingan Festival Malaya di Singapura dan pingat gangsa acara ujian masa individu di Kejohanan Berbasikal Asia selain emas acara berpasukan. Saya kemudian bertanding di Olimpik ketika 17 tahun, tanpa pengalaman bertanding di pertandingan besar.

“Saya mengambil bahagian dalam acara 1km ujian masa, tetapi disebabkan tidak biasa dengan kecuraman 45 darjah velodrom selain cuaca sejuk menganggu kayuhan saya. Lebih malang pelumba Eropah datang dengan teknologi terkini di mana basikal mereka lebih ringan dan mempunyai gear berbeza. Kami tewas sebelum perlumbaan bermula tetapi pengalaman itu tidak boleh dijual beli.”

Joo Pong berundur selepas memenangi pingat gangsa di Sukan Asia 1970.

Foto : TheStar, YAKEB

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.