“Sila hormati terma di dalam kontrak, usah burukkan imej pasukan”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain-pemain Sarawak United mahupun wakil mereka sama ada peguam, ejen ataupun pengurus diingatkan supaya menghormati terma-terma di dalam kontrak dan tidak membuat kenyataan terbuka yang boleh menjatuhkan imej pasukan.

Peringatan itu diberikan susulan viralnya isu tunggakan gaji pemain pasukan pendahulu Liga Premier itu, sehingga timbul spekulasi kononnya ramai pemain utama mereka bersedia angkat kaki.

Lebih mengecewakan kelab itu, pemain atau wakil mereka memilih untuk bercakap kepada media terlebih dahulu berbanding berinteraksi dengan pihak pengurusan bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kelewatan pembayaran gaji.

Menurut wakil pengurusan kelab kepada Labola Malaya, “Memang ada berlaku kelewatan pembayaran gaji, tetapi situasi tidaklah tertunggak atau teruk sangat sehingga perlu wujud spekulasi pemain tidak gembira dan mahu meninggalkan pasukan. Itu melampau dan menjatuhkan maruah pasukan.

“Pihak kelab sedaya mungkin menyelesaikan baki gaji pemain-pemain terlibat, dan urusan ini dilakukan secara terus dengan pemain tanpa babitkan pihak ketiga.

“Kadang-kadang wakil pemain ni lebih sudu dari kuah, mereka tak ada pula berhubung dengan kelab atau menghantar surat ke ape tetapi laju jer berbunyi di media burukkan pengurusan. Mereka perlu profesional dan tidak mengeruhkan keadaan.

“Sebagaimana kita di pihak kelab menghormati terma-terma di dalam kontrak pemain, kita mengharapkan perkara sama dari pemain.”

Isu gaji pemain Sarawak United FC mula viral setela akhbar tempatan melaporkan Sandro Mendonca tidak menerima gaji penuh sejak menyertai pasukan Januari lalu.

Menurut peguam pemain itu Zhafri Aminurrashid, Sandro hanya menerima 70 peratus gaji bagi Januari dan April, dan tiada pembayaran kepada pemain tengah veteran ini untuk bulan Mac dan April.

Malah Sarawak United juga gagal membayar elaun rumah dan kereta bagi bulan Mac dan April dengan keseluruhan tunggakan dianggarkan ratusan ribu ringgit.

Justeru Zhafri berkata, pengurusan Sarawak United diberi tempoh 15 hari iaitu sehingga 22 Mei ini bagi menyelesaikan segala tunggakan itu kepada anak guamnya atau sekiranya gagal, kes ini akan diheret ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi menuntut hak pemain itu.

Sebagai rekod, Sarawak United dilabel sebagai pasukan pilihan Liga Premier musim ini susulan kehadiran ramai pemain berprofil tinggi termasuklah Norshahrul Idlan Talaha, S.Chanturu, Gopi Rizqi, Sharbinee Allawee Ramli, K.Reuben, S.Veenod dan Taylor Reagan.

Mereka sedang memimpin carta Liga Premier dengan 23 mata.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.