Silap kalau fikir ketiadaan Quang Hai sebagai satu kelebihan, Vietnam ada Nguyen lain!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketiadaan tonggak tengah, Nguyen Quang Hai ketika Vietnam turun menentang Harimau Malaya dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 11 Jun, secara dasarnya bukan satu kelebihan kepada pasukan negara sepertimana tanggapan ramai.

Ini kerana Vietnam bukan bermain bersandarkan kepada kelebihan seorang pemain semata-mata dan mempunyai ramai lagi pemain berbahaya yang bakal menjadi duri dalam daging kepada skuad negara.

Sebagai rekod, ketika Malaysia dan Vietnam bertemu buat kali terakhir pada 2019, jaringan Nguyen Quang Hai menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan, dan dia sememangnya mempunyai reputasi hebat dalam kalangan penyokong.

Dia juga menjaringkan gol ketiga Vietnam ketika menewaskan Indonesia 4-0 baru-baru ini namun, gara-gara mengutip kad kuning pada perlawanan itu, pemain itu tidak dapat diturunkan dalam aksi getir di Stadium Al-Maktoum menentang Malaysia nanti.

Berita berkaitan : Penyerang Vietnam sasar skor tiga gol lawan Indonesia, Malaysia dan UAE
Berita berkaitan : “Lawan Malaysia lebih menakutkan dari lawan UAE”, ujar jurulatih Vietnam

Vietnam bagaimanapun tiada sebab untuk risau, hilang seorang Nguyen, mereka masih ada Nguyen Van Toan dan Nguyen Tien Linh untuk menggempur pertahanan negara. Tien Linh baru-baru ini ada memberitahu dia berazam meledak lebih tiga gol dalam setiap perlawanan berbaki, termasuk menentang Malaysia.

Dan mereka juga ada seorang lagi pemain berbahaya dalam kelibat Nguyen Cong Phuong (gambar utama) – media Vietnam bongdaplus melaporkan penyerang yang beraksi bersama Hoang Anh Gia Lai itu merupakan pemain paling banyak meledak gol menentang Malaysia.

Nguyen Cong Phuong yang digelar ‘Messi Vietnam’ menjaringkan lima gol secara keseluruhan, melakukan dua assist dan mendapatkan dua penalti dalam sembilan pertemuan menentang Malaysia membabitkan saingan peringkat B-19, B-23 dan senior.

Kali terakhir dia meledak gol menentang Harimau Malaya adalah dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2018. Lebih hebat, Vietnam belum pernah tewas menentang Malaysia setiap kali Nguyen Cong Phuong turun beraksi.

Malaysia membawa misi wajib menang ke atas Vietnam untuk menghidupkan peluang menamatkan pusingan kedua kelayakan selaku 12 pasukan terbaik dan mara ke pusingan seterusnya secara automatik.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.