“Silap Saya Tak Skor Pada Minit Ke-25” – Kipre Tchetche

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang Terengganu, Kipre Tchetche berpendapat keputusan perlawanan akhir Piala FA 2022 mungkin berbeza jika pasukannya tampil lebih tajam di depan gol.

Malah dia turut kesal dan menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyempurnakan peluang terhidang satu lawan satu berdepan penjaga gol Farizal Marlias pada minit ke-25 yang berpotensi merubah skrip perlawanan.

“Sememangnya sangat sedih kerana apabila sampai ke peringkat akhir, kami main untuk menang dan bila gagal lakukannya, tiada apa yang boleh diperkatakan serta harus salahkan diri sendiri.

“JDT bermain sangat baik dan mereka manfaatkan peluang dan kami tidak, bagi saya mereka lebih laparkan kejayaan daripada kami,” kata Kipre Tchetche yang juga kapten pasukan selepas perlawanan.

Dia menjaringkan gol tunggal Terengganu dalam kekalahan 1-3 kepada Johor Darul Takzim, selepas rembatan dilakukannya pada minit ke-76 mengenai muka Farizal dan menerjah jaring.

Jaringan itu pada satu ketika dilihat menghidupkan semula peluang Terengganu untuk bangkit dan kembali dalam permainan, namun kesilapan penjaga gol Rahadiazli Rahalim dua minit kemudian membolehkan Bergson Da Silva menjaringkan gol ketiga sekaligus membunuh sisa perjuangan skuad Nafuzi Zain.

https://fb.watch/ftpCZqyk94/

Rahadiazli sebelum itu turut menjadi penyebab kepada gol kedua JDT, apabila menghadiahkan sepakan penalti setelah menjatuhkan Bergson, dan penalti itu disudahkan pemain itu sendiri.

Dalam pada itu, pemain pertahanan, Pape Diakite meminta penyokong tidak menyalahkan Rahadiazli atas kekalahan di pentas final yang menyaksikan pasukan itu gagal menoktahkan penantian 11 tahun menjulang trofi.

Malah dia juga berharap Rahadiazli beroleh pengalaman berguna dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk menjadi lebih baik dalam karier.

“Dia tidak boleh terlalu kecewa kerana semua orang buat kesilapan, saya buat kesilapan dan begitu juga pemain lain.

“Tetapi selepas melakukan kesilapan, apa yang penting bagaimana untuk bangkit kerana dari situlah kita akan lebih matang selepas belajar daripada pengalaman,” ujarnya.

Tambah Diakite, apa yang terjadi pada situasi gol ketiga JDT sememangnya memeritkan untuk diterima Rahadiazli namun mengingatkan kepada semua peminat, dia masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah.

Baginya, menang atau kalah adalah adat pertandingan dan semua pemain Terengganu akan terus memandang ke hadapan serta berikan tumpuan kepada pertandingan seterusnya seperti memburu posisi yang lebih baik di Liga Super.

“Sebelum ke sini, dia (Rahadiazli) telah melakukan tugasan yang baik semasa di separuh akhir dan jangan lupa tentang perkara berkenaan.

” Dia masih berusia 20 tahun dan banyak lagi boleh dipelajari, tiada sesiapa yang perlu dipersalahkan kerana kami menang sebagai satu pasukan dan kalah sebagai satu pasukan.

” Apa-apa pun, ini pengalaman yang sangat berguna kepada kami malah ini adalah final pertama saya dan rasa sangat bertuah dapat melakukannya pada tahun pertama bersama Terengganu,” kata pemain itu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.