Sindiran padu Bojan Hodak yang hilang sabar selepas tewas di tangan Kedah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Kuala Lumpur City, Bojan Hodak tidak dapat menyembunyikan rasa sakit hati terhadap beberapa keputusan pengadil perlawanan selepas pasukannya tewas penuh dramatik menerusi dua gol masa kecederaan di tangan Kedah Darul Aman FC dalam aksi Liga Super pada Jumaat.

Kedah bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan, namun jelas ia sama sekali tidak mengujakan bekas pengendali skuad B-19 kebangsaan itu.

“Kami sedang mendahului perlawanan hingga ke saat-saat akhir perlawanan. Kemudian mereka dapat gol penalti dan offside, tiada istilah tuah jika penalti dan offside.

“Saya perlu komen tentang pengadil, tetapi saya tidak boleh. Tiada apa-apa yang boleh saya cakapkan.

“Ini bukan kali pertama, dan setiap kali terjadi seperti ini, saya kena tutup mulut dan tidak boleh komen tentang ini. Jadi, apa yang anda mahu saya katakan?

“Saya hanya boleh katakan yang cuaca sangat baik di Kedah, orang-orang Kedah sangat baik dan makanannya sedap-sedap. Tiada apa yang boleh saya katakan. Apa kata anda dapatkan komen daripada pihak pengadil,” kata-kata sinis Bojan Hodak selepas perlawanan.

Pada perlawanan di Stadium Darul Aman itu, kedua-dua pasukan menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan dan ianya KL City yang memecahkan kebuntuan empat minit selepas permainan bersambung menerusi Paolo Josue.

Fayadh Zulkifli Amin mengikat kedudukan 1-1 sebelum Giancarlo Gallifuoco mengembalikan pendahuluan kepada skuad warga kota pada minit ke-79.

Ketika mereka sudah bersedia meraikan kemenangan keempat, pengadil memberikan enam minit masa kecederaan dan menjadi permulaan kepada penamat dramatik.

Pemain gantian Kedah, Rozaimi Abdul Rahman berjaya mendapatkan sepakan penalti pada minit kedua masa kecederaan, yang disempurnakan Kipre Tchetche.

Ingatkan boleh juga bawa pulang satu mata daripada langsung tiada, tetapi dua minit kemudian gawang KL City bergegar lagi menerusi rembatan kencang kaki kiri Kipre Tchetche yang melengkapkan kebangkitan bergaya skuad Aidil Shahrin Sahak.

“Saya rasa kami patut menang. Pada awalnya, segalanya bagus buat kami. Kami melakukan segalanya dengan baik. Mereka memiliki pemain dan pasukan yang lebih baik. Segalanya baik sehinggalah di minit akhir. Tiada istilah tuah jika (menang) penalti dan offside,” ujar Bojan Hodak.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.