Sivasundaram, dari individu dibenci penyokong Selangor kini orang no.2 bolasepak Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hanya beberapa tahun lalu, Datuk S.Sivasundaram merupakan antara individu yang cukup dibenci penyokong Selangor berikutan kemelut kepimpinan melanda Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Beliau yang merupakan Bendahari FAS dan antara orang lama persatuan itu didesak supaya berundur sehingga menyebabkannya meletak jawatan pada Ogos 2016 susulan rombakan yang dibuat oleh Presiden FAS ketika itu, Datuk Seri Azmin Ali, sebelum kembali semula pada tahun berikutnya apabila Datuk Seri Subahan Kamal dilantik sebagai Presiden.

Sumber : Rosman and Sivasundaram step down from FAS posts

Siapa sangka, selepas melalui jatuh bangun dalam bolasepak, ketika ramai fikir veteran sepertinya tidak lagi relevan, kini Sivasundaram adalah orang nombor dua bolasepak tanah air, apabila bakal diumumkan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Kongres Tahunan FAM 13 Mac depan.

Ya, Sivasundaram yang lebih sinonim sebagai ‘penjaga tiket dan pintu’ adalah Timbalan Presiden FAM yang baru, selepas Datuk Seri Subahan Kamal membuat keputusan tidak mempertahankan jawatannya, manakala hanya nama Sivasundaram dan Datuk Wira Yusoff Mahadi dicalonkan untuk mengisi dua kerusi yang dipertandingkan.

“Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada ahli gabungan yang mencalonkan saya untuk jawatan timbalan, terima kasih kerana menaruh kepercayaan ke atas saya, saya akan buat yang terbaik untuk bolasepak Malaysia. Memang, sebagai Timbalan, tanggungjawabnya lebih besar tapi saya sedia menyahutnya.

“Saya sudah berada dalam arena bolasepak lebih 30 tahun, bersama persatuan negeri dan juga FAM. Saya telah berkhidmat dengan FAM sebagai ahli jawatankuasa eksekutif dan naib presiden. Jadi saya mempunyai pengalaman dan pengetahuan untuk memberi sumbangan kepada arena ini,” kata Sivasundaram.

Sivasundaram masuk ke dalam FAS pada tahun 1987 sebagai ahli jawatankuasa sebelum dilantik sebagai Bendahari Kehormat dan pernah memegang beberapa portfolio termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan. Di situlah bermulanya perkenalan beliau dan Presiden FAM sekarang, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Kami sudah mengenali satu sama lain lebih 25 tahun, sejak ketika Datuk Hamidin merupakan Setiausaha Agung FAS. Kami serasi dan mempunyai persefahaman yang baik, dan ketika kami bersama FAS, Selangor menang banyak piala,” ujarnya yang merupakan bekas pegawai kastam.

Bersama FAM sejak 2010, Sivasundaram sebelum ini pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu, Jawatankuasa Peraturan serta Jawatankuasa Pengadil selain bertindak sebagai pengurus pasukan skuad B-16 kebangsaan yang memenangi Kejuaraan AFF 2019.

Selain Datuk Hamidin, Sivasundaram pernah berkhidmat di bawah tiga lagi Presiden di FAM iaitu Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.