Skuad B-16 Pergi Ke Indonesia Dengan Keyakinan Tinggi Boleh Menjuarai Piala AFF

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad B-16 negara terbang ke Indonesia pada Jumaat, dengan membawa keyakinan tinggi dapat bergelar juara Piala AFF B-16 yang bermula 6 Ogos depan.

Pengendali pasukan, Osmera Omaro beranggapan ia bukan satu misi mustahil, malah menekankan bahawa sasaran realistik berdasarkan kepada prestasi semasa pasukannya.

“Saya rasa sekiranya kita pergi ke sesuatu kejohanan, pastinya kita akan cuba capai keputusan paling terbaik dan realistik. Jadi saya rasa sasaran juara pada edisi kali ini adalah realistik dan boleh dicapai,” ujarnya.

Tambah Osmera, pencapaian ‘skuad abang’ iaitu Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 serta kejayaan skuad B-19 bimbingan Hassan Sazali Waras memenangi Kejuaraan B-19 AFF 2022 baru-baru ini (juga di bumi Indonesia), memberi suntikan semangat yang cukup positif kepada barisan pemainnya.

“Semua kejayaan ini memberi inspirasi kepada pasukan saya dan kepada peminat bola sepak bahawa pasukan negara mampu mencapai sesuatu. Setakat ini, pasukan berada dalam situasi sangat baik dan keyakinan mereka cukup tinggi untuk menghadapi saingan kali ini,” ujarnya.

Malaysia sebelum ini pernah bergelar juara Piala AFF B-16 sebanyak dua kali iaitu pada edisi 2013 dan 2019.

Untuk edisi kali ini, skuad negara diundi di dalam Kumpulan C bersama Kemboja, Myanmar dan Laos.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.