Skuad Projek FAM-MSN kena ‘lauk’ lagi, kali ini di tangan Kelantan United

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pasukan yang menjadi topik hangat dan bahan bualan penyokong bolasepak tanah air, Projek FAM-MSN tewas lagi, kali ini di tangan Kelantan United pada Sabtu.

Penyertaan skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier 2021 semakin hangat dipertikaikan bukan sahaja kerana deretan keputusan buruk, tetapi kerana dianggap ia bukan platform pendedahan yang sesuai bagi pemain-pemain berusia 17-19 tahun di dalam pasukan itu.

Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim menganggap ini bukan cara betul untuk pembangunan pemain muda iaitu dengan membenarkan sebuah skuad yang dibarisi sepenuhnya ‘budak-budak’ untuk bersaing dengan pasukan-pasukan yang memiliki pemain senior serta import.

Dan kekalahan terbaru 0-3 kepada Kelantan United sekadar mengukuhkan lagi hujah bahawa Liga Premier adalah pertandingan yang terlalu tinggi intensitinya untuk skuad Projek FAM-MSN tatkala skuad Yusri Che Lah tewas dengan defisit tiga gol atau lebih buat kali keempat.

Sebelum ini mereka tewas 0-4 kepada Terengganu II, 1-2 kepada Kelantan FC, 2-4 kepada Selangor II, 1-3 kepada PDRM, 0-2 kepada Negeri Sembilan, 0-5 kepada JDT II dan 1-7 kepada Sarawak United. Satu-satunya mata yang diraih adalah ketika seri 2-2 menentang Kuching City.

Dalam aksi berlangsung di Stadium Hang Jebat itu, Kelantan United mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Asraff Alifuddin Yasin pada minit ke-43 dan kemudiannya menambah dua lagi jaringan di babak kedua menerusi Hariz Kamarudin dan Gasama Alfusainey.

Dalam pada itu, satu lagi perlawanan Liga Premier yang berlangsung membabitkan dua pasukan feeder team menyaksikan Terengganu II bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Selangor II 4-3 di Kuala Terengganu.

Nicolas Fernandez meletakkan JDT II di depan pada minit ke-22 sebelum Jordan Mintah mengikat kedudukan pada minit ke-40, namun ledakan Fernando Rodriguez memastikan JDT II menuju rehat separuh masa pertama dengan kelebihan 2-1.

Argzim Redzovic menyamakan kedudukan 2-2 tetapi Rodriguez mengembalikan kelebihan buat skuad Rafael Gil Sanchez buat kali ketiga pada minit ke-68.

Masaki Watanabe menyamakan kedudukan buat kali ketiga untuk skuad Badrul Afzan Razali dan ketika perlawanan dilihat menuju seri, Jordan Mintah memastikan tiga mata buat Terengganu II.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.