Skuad Projek FAM-MSN Tidak Dibubar

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad Projek FAM-MSN kendalian Yusri Che Lah tidak akan dibubarkan dan akan kekal beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan di sebalik pelbagai kritikan dilontarkan ke atas pasukan itu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Saifuddin Abu Bakar.

“Skuad Projek FAM-MSN memang kita tubuhkan khas untuk pemain AMD (Akademi Mokhtar Dahari). Pemain AMD ini kalau mereka berlatih sahaja tetapi tidak ada kejohanan kompetitif, mereka tidak akan ke mana. Jadi skuad ini masih akan dikekalkan.

“Dengan adanya skuad ini, kita akan ada banyak pilihan pemain dalam persediaan kita ke arah 2024. Kita menyasarkan Olimpik 2024 dengan mempunyai banyak pilihan pemain termasuk skuad Bawah 17 Tahun (B-17) dan Bawah 23 Tahun (B-23),” katanya kepada Bernama.

Saifuddin sebelum itu menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan pemegang taruh lain yang dipengerusikan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Sebagai rekod, skuad Projek FAM-MSN ditubuhkan pada hujung tahun lalu dan dibarisi seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia, Piala Presiden, Sekolah Sukan Malaysia dan negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Penyertaan mereka dalam Liga Premier 2021 bagaimanapun menerima kritikan hebat termasuk daripada bekas pengarah NFDP sendiri, Lim Teong Kim yang menganggap ia bukan cara betul untuk pembangunan dan pendedahan kepada pemain muda.

Berita Berkaitan : Pembangunan Apa Benda Macam Ni, Hentikan Sebelum Mental Mereka KO

Pasukan itu menamatkan kempen Liga Premier musim ini di kedudukan tercorot dengan hanya meraih satu kemenangan dalam keseluruhan 20 perlawanan.

Sementara itu, Saifuddin menafikan khabar angin bahawa NFDP yang dilancarkan pada 2014 akan ditutup.

“Kalau ada cerita hendak tutup NFDP itu tidak benar, kita (FAM) memang sentiasa memikirkan soal pembangunan. Pembangunan ini kita tidak akan dapat (hasil) hari ini, esok kita dapat hasilnya dan jika usaha itu sesuatu yang memang bagus kita akan teruskan.

“Program ini juga melibatkan banyak parti, kerajaan, MSN, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan sebagainya. Memang kita alu-alukan (program diteruskan) dan kalau kita perlu tambah baik, kita akan buat,” katanya.

Sebelum ini, timbul khabar angin terdapat segelintir individu yang cuba melobi supaya NFDP ditutup sekali gus menimbulkan keresahan dalam komuniti bola sepak tempatan terhadap hala tuju pembangunan bola sepak negara di peringkat akar umbi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.