Skuad Projek Kembali Jadi Belasahan, Yusri Che Lah Akui Pemain Sudah Tewas Sebelum Turun Padang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Skuad Projek FAM-MSN Yusri Che Lah tetap bersyukur meskipun pasukannya tewas 1-5 di tangan Johor Darul Takzim II di Stadium Larkin dalam aksi Liga Premier pada Sabtu.

Yusri Che Lah sebelum ini menyatakan rasa gembira kerana skuad bimbingannya bukan lagi pasukan belasahan sebaliknya sudah banyak meningkat dan hanya tewas dengan jaringan-jaringan kecil.

Begitupun kembali tewas dengan jaringan besar, Yusri Che Lah menganggap ia disebabkan para pemain terlalu menghormati dan gerun dengan reputasi gah pasukan lawan.

“Saya bersyukur jugak walaupun kalah 5-1. Sesungguhnya saya merasakan pemain terlalu menghormati ‘title’ JDT. Dia bukan tengok JDT II tapi title JDT itu terlalu besar bagi mereka sehingga memberikan ruang terlalu besar di separuh masa pertama dan menyebabkan kita ketinggalan dengan tiga jaringan.

“Separuh masa kedua kita cuba beri tentangan untuk tidak membenarkan lawan mendapat tambahan jaringan tapi malangnya walaupun nampak perubahan kita melepaskan jaringan hasil kesilapan kita jugak.

“Apa yang positif selepas selepas 16 perlawanan, tahap keyakinan mereka. Walaupun first half mereka nampak gugup, kita kena ingat mereka bukan pemain first level di Malaysia pada usia ini. Rata-rata mereka berumur 18 dan 19 tahun dan hanya seorang berumur 20 tahun.

“Mungkin tahun ini bukan tahun kami untuk bergelar juara atau merasai kemenangan, dan saya juga tak katakan kami bermain untuk kalah tapi kita perlukan peningkatan dari semasa ke semasa.

“Bercakap pasal pembangunan mereka baru enam bulan bersama saya, ia tempoh yang singkat namun mereka boleh beraksi walaupun dalam tekanan. Tapi apa yang memberi saya keyakinan corak permainan di sepanjang pusingan kedua kecuali pada malam ini di separuh masa pertama.

“Jadi saya harap komitmen ditunjukkan di pusingan kedua berterusan dan kita perlu maklum juga konsistensi pemain muda, mereka tidak selalu berada pada tahap sebenar apatah lagi dengan perlawanan silih berganti dalam tempoh 18 hari bagi pemain muda,” ujar Yusri Che Lah.

Tambah Yusri lagi, “Apabila mereka lihat nama-nama besar yang sedia dikenali seperti Syazwan Andik, Fadhli Shas, Rodriguez contohnya ia mempengaruhi corak permainan mereka. Penjaga gol baru saya, penampilan ketiga, dia datang bukan dari sekolah sukan dan menunjukkan kesungguhan. Kegugupan itu berlaku kerana nama-nama besar ini.

“Contoh beraksi lawan Kelantan, PDRM, Selangor II dan Negeri Sembilan sebelum ini kami tidak dibayangi nama-nama besar tapi JDT saya terpaksa mengatakan perkara sebenar. JDT satu logo besar jadi pemain saya sudah tewas bila turun ke stadium. Bila masuk ke bilik persalinan, first time jejak kaki ke Stadium Larkin. Ia norma baru, perkara baru bagi pemain muda.”

Pada perlawanan itu, JDT II mendahului 3-0 di separuh masa pertama menerusi Daryl Sham George pada minit ke-13, Fernando Rodriguez (m-19) dan Chia Ruo Han (m-35).

Kei Hirose dan Rodriguez melengkapkan pesta gol JDT II manakala gol tunggal Skuad Projek FAM-MSN dijaringkan Azhad Harraz Arman.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.