Skuad Projek Tak Patah Semangat Walaupun Baru Raih 1 Mata Dalam 7 Perlawanan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kegagalan mencatat sebarang kemenangan dalam saingan Liga Premier selepas tujuh perlawanan masih belum mematahkan semangat Skuad Projek FAM-MSN.

Ketua jurulatihnya, Hassan Sazali Waras, masih berharap pemain-pemainnya akan kembali bangkit pada baki perlawanan dan yakin tiga mata pertama yang dicari akan kunjung tiba.

Beliau yakin jika kemenangan sulung dapat diraih, situasi itu akan mengubah nasib Skuad Projek terutama untuk menghadapi aksi pusingan kedua Liga Premier.

“Kalau ikutkan perbezaan Skuad Projek dengan pasukan lain adalah aspek pengalaman namun saya nampak mereka semakin banyak belajar dari perlawanan ke tiap perlawanan.

“Kami hanya tewas tipis dalam kebanyakan perlawanan yang dilalui dan situasi itu dilihat satu perubahan yang positif kepada pasukan ini jika hendak dibandingkan dengan musim sebelumnya.

“Perkara itu membuatkan saya yakin akan ada saat kebangkitan dari pemain-pemain dan jika kami boleh mencapai satu kemenangan, situasi itu akan menjadi titik perubahan kepada pasukan.

“Selain kemenangan, saya mahu mereka kembali peraga prestasi sebenar sebelum mempersiapkan diri ke kejohanan kelayakan AFC Bawah 20 tahun, Julai nanti dan pada bulan Ogos,kejohanan AFF Bawah 19 tahun,” katanya.

Satu mata sahaja mampu diraih setakat ini oleh Skuad Projek apabila seri berdepan Selangor II manakala enam perlawanan lain menyaksikan mereka tewas.

Hanya satu kekalahan besar dialami Skuad Projek iaitu kepada Kuching City dengan keputusan 4-0 manakala perlawanan lain memperlihatkan mereka tewas tipis.

Berdepan PDRM FC pada Sabtu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Hassan akui kelebihan memihak kepada tuan rumah walaupun prestasi semasa lawan juga berada di tahap kurang memuaskan.

“PDRM dibarisi pemain import yang saya rasa akan beri perbezaan besar kepada mereka berbanding kami yang menggunakan semua pemain muda.

“Sudah tentu kami mahu mencuba dapatkan sesuatu daripada perlawanan ini dan harap pemain mampu peraga aksi lebih baik biarpun di atas kertas, PDRM jadi pilihan.

“Ketiadaan ketua pasukan Ubaidullah (Shamsul Fazili), yang bersama dengan skuad Sukan SEA amat dirasai oleh kami kerana dia sememangnya seorang ketua sebenar kepada pemain lain di atas padang.

“Manakala penjaga gol, Mohd Nabil Asyraf mengalami kecederaan dan kemungkinan besar tidak dapat diturunkan bagi berdepan PDRM,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.