Solskjaer : ‘Tengok cermin, tanya diri punca kekalahan memalukan ini’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer hilang kata-kata melihat aksi lembik para pemainnya ketika diaibkan dengan kekalahan 1-6 di Old Trafford oleh Tottenham Hotspur.

Ini adalah kali ketiga pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris itu melepaskan enam gol dalam satu perlawanan liga – yang pertama sejak tewas 1-6 kepada Manchester City pada 2011 – dan Solskjaer melabel apa yang disaksikannya cukup mengejutkan, terburuk dalam kariernya.

Tidak mahu memberi alasan, Solskjaer berkata aksi buruk Manchester United itu adalah berpunca daripada dirinya sendiri.

“Saya perlu tengok cermin dan tanya diri, dan saya mengakui saya bertanggungjawab di atas kekalahan memalukan ini kerana saya yang pilih skuad.

“Setiap apa yang pemain tunjukkan, sama ada buruknya bertahan, buruknya hantaran, buruknya semangat, banyaknya kesilapan, adalah datang daripada pemilihan yang saya buat.

“Kita tewas dengan jaringan besar di laman sendiri kepada sebuah pasukan yang bagus, ia (kekalahan besar) pernah berlaku tapi bukan dengan permainan seperti ini. Kesilapan yang terlalu banyak ketika menentang lawan yang berkualiti, inilah akibatnya.

“Kekalahan seperti ini memalukan, menyakitkan, sangat menyakitkan, terburuk dalam karier saya sebagai pemain mahupun pengurus tetapi kelab pernah alami kekalahan lebih teruk daripada ini dan mereka pernah bangkit.

“Jadi saya tidak boleh terus meratapi kekalahan dan perlu segera memandang ke depan, pulihkan motivasi, berharap mereka akan kembali lebih baik selepas tugasan antarabangsa,” kata Solskjaer.

Dalam aksi tersebut, ianya Manchester United yang berada di depan seawal minit kedua menerusi penalti Bruno Fernandes.

Tetapi dalam tempoh lima minit selepas itu, Red Devils sudahpun ketinggalan 1-2 apabila Spurs menjaringkan dua gol pantas menerusi Tanguy Ndombele (m-5) dan Son Heung Min (m-7).

Manchester United kemudian kehilangan seorang pemain selepas Anthony Martial dilayangkan kad merah pada minit ke-28 dan penguasaan Spurs berterusan apabila Son Heung Min dan Harry Kane menambah jaringan untuk kedudukan 4-1 di separuh masa pertama.

Skuad Jose Mourinho itu beroleh dua lagi jaringan menerusi Serge Aurier dan penalti Harry Kane di separuh masa kedua sekaligus melengkapkan kemenangan 6-1.

Foto : Man Utd Times

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.