Spurs sahkan Gareth Bale tersisih sebulan kerana kecederaan lutut

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pasukan perubatan Tottenham Hotspurs mengesahkan Gareth Bale akan tersisih sekurang-kurangnya sebulan kerana kecederaan lutut.

Pemain antarabangsa Wales itu terbang ke London pada Jumaat bersama-sama seorang lagi rakan sepasukan di Real Madrid, Sergio Reguilon (yang turut menyertai Spurs)  untuk melengkapkan perpindahan pinjaman bernilai £20 juta.

Menurut laporan media antarabangsa, Gareth Bale sebenarnya telah mengalami kecederaan tersebut sejak beberapa minggu lalu dan telah menjalani pemulihan di sebuah gym di Valdebebas.

Spurs dilaporkan sememangnya mengetahui tentang perkara tersebut dan beranggapan kecederaan itu sudah semakin hampir untuk pulih sepenuhnya.

Namun ketika menjalani ujian perubatan dan kecergasan, pasukan perubatan Spurs mendapati Gareth Bale perlu terus dirawat dan jangkaan paling awal dia boleh membuat penampilan semula bersama kelab yang mengasah bakatnya itu adalah pada penghujung Oktober.

Sebagai rekod, Gareth Bale meninggalkan kelab utara London itu untuk menyertai Real Madrid pada 2013 dengan harga perpindahan termahal dunia ketika itu £85 juta.

Dia membuktikan Real Madrid telah membuat keputusan tepat untuk membayar sebanyak itu apabila membantu mereka menjulang dua gelaran La Liga dan empat gelaran Liga Juara Eropah.

Lebih manis, ketika Real Madrid menjulang Liga Juara Eropah pada musim 2018/2019 dengan menewaskan Liverpool, Gareth Bale menjaringkan dua gol termasuk satu gol akrobatik cantik.

Begitupun itu menjadi detik manis terakhirnya bersama kelab gergasi bolasepak dunia itu kerana sepanjang musim lalu, dia kurang mendapat peluang bermain susulan hubungan dingin dengan pengurus pasukan Zinedine Zidane. Baca : Gareth Bale memalukan, tidak menghormati Zidane dan Real Madrid

Gareth Bale terlepas sembilan perlawanan terakhir Real Madrid termasuk aksi menentang Manchester City di suku akhir Liga Juara Eropah.

Malah ketika seluruh pasukan meraikan kejayaan menjulang La Liga pada hari terakhir musim, dia sekadar memandang sahaja dan dilihat tidak gembira.

Dalam satu temuramah, dia mendedahkan dari awal lagi sudah meminta untuk keluar daripada Real Madrid demi mencari cabaran baru tetapi kelab itu telah menjadikan situasinya sebagai rumit dan menyukarkan.

Real Madrid kemudian mengakui mereka membuat kesilapan dengan tidak menerima bidaan £89 juta untuknya pada musim lalu dan kini demi meringankan beban kewangan mereka akhirnya akur melepaskannya, sekurang-kurangnya untuk bermain dengan Spurs selama semusim secara pinjaman.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.