Pengendali Sri Pahang, Christopher Gamel akur kekuatan pasukannya dan Johor Darul Takzim ibarat langit dengan bumi tatkala kedua-dua pasukan bakal memperbaharui permusuhan di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu.
Ditambah pula dengan kesukaran Sri Pahang untuk menemui konsistensi dan menunjukkan prestasi yo-yo dalam tujuh perlawanan yang telah diharungi, Gamel akur pasukannya berdepan cabaran sukar untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata di gelanggang keramat JDT.
Memburukkan lagi keadaan, Sri Pahang berkemungkinan besar tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama seperti Johan Martial dan Malik Mat Ariff jika masing-masing tidak melepasi ujian kecergasan pada hari perlawanan tatkala khidmat Billy Ketkeophompone ibarat boleh dilupakan terus.
“Kita berdepan waktu yang sukar, bertemu pendahulu liga ketika mereka sedang berada pada kemuncak prestasi dan kita pula kehilangan pemain utama dalam masa sama sukar untuk mencari konsistensi.
“Kamu boleh lihat sendiri apabila kita menang satu perlawanan, perlawanan seterusnya kita tewas atau cicirkan mata kerana kesilapan mudah. Jadi masalah utama saya sekarang adalah melihat siapa yang boleh bermain menentang JDT dan juga menguruskan konsistensi.
“Saya perlu melihat siapa yang tinggal, kerana saya tidak mempunyai banyak pilihan. Jadi saya akan pergi ke sana dengan satu skuad muda. Anda telah pun tengok ramai pemain muda di bangku simpanan pada perlawanan lalu (menentang Skuad Projek FAM) dan jumlah itu akan bertambah lagi.
“Saya perlu memberi kepercayaan kepada pemain muda, mereka akan belajar sama ada dengan cara yang baik mahupun sebaliknya saya tidak tahu tetapi semua tahu ini akan menjadi satu perlawanan yang sangat sukar tetapi tiada apa yang mustahil dalam bolasepak.
“Sebelum perlawanan bermula kita harus katakan peluang adalah 50-50, kita harap dapat terjemahkan satu perlawanan yang baik dan paling penting adalah penguasaan bola. Kita perlu turun dengan keyakinan dan meningkatkan permainan, ia adalah satu proses.
“Tetapi sila ingat bahawa anda tidak boleh membandingkan sebuah pasukan yang telah muncul juara liga lapan kali dan bermain di ACL dengan sebuah pasukan yang terselamat daripada tersingkir musim lalu,” ujar Gamel dipetik daripada sripahangfc.com.my.
Kali terakhir Sri Pahang dan JDT bertemu di Seri Iskandar, pasukan Harimau Selatan bimbingan Benjamin Mora menang 3-0 menerusi jaringan hatrik Bergson da Silva.