Sri Pahang FC guna Sergio Aguero pada 2022 sebagai pemain naturalisasi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sri Pahang FC hanya akan menggunakan pemain import, Sergio Aguero pada 2022, tetapi sebagai pemain tempatan selepas pemain itu melengkapkan proses naturalisasi.

FIFA menetapkan seseorang pemain import perlu bermain sekurang-kurangnya lima tahun berturut-turut di liga sesebuah negara untuk dinaturalisasikan dan pemain dari Argentina itu akan beraksi buat tahun kelima di Liga Malaysia musim ini.

Dia yang menandatangani kontrak dua tahun bersama Sri Pahang FC pada awal tahun ini, sebelum ini telah bermain dengan Melaka United (2017), Selangor United (2018), Pulau Pinang (2019) dan Kuala Lumpur Rovers pada 2020.

Walaupun Sri Pahang FC tidak bercadang menggunakan khidmatnya musim ini dan akan meminjamkannya ke kelab Liga Premier, apa yang pasti dia berada dalam perancangan jangka panjang pasukan itu.

“Dia kelihatan cukup bagus dalam sesi latihan, saya kagum dengan determinasi dan kesungguhan yang ditunjukkannya, sudah pasti saya akan menggunakannya, sebagai seorang pemain naturalisasi. Buat masa ini, saya berpendapat adalah bagus untuk dia bermain dengan pasukan lain.

“Duduk di bangku simpanan bersama Sri Pahang FC tidak akan membantu perkembangannya. Saya mahu dia menyertai pasukan Liga Premier, dapatkan minit permainan, pengalaman dan datang semula sebagai seorang pemain yang jauh lebih baik ke sini pada 2022,” ujar pengendali Pahang, Thomas Dooley.

Selain menaturalisasikan Sergio Aguero, Sri Pahang FC juga dijangka melakukan perkara sama terhadap seorang lagi pemain import Lee Tuck yang turut melengkapkan tahun kelimanya di Liga Malaysia pada tahun ini. Bermakna mereka akan mempunyai dua pemain naturalisasi pada tahun depan.

Sebagai rekod, mereka juga bertanggungjawab menaturalisasikan pemain sayap Johor Darul Takzim, Mohamadou Sumareh pada tahun 2018.

Labola Malaya pada Khamis melaporkan Sri Pahang FC telah berjaya mendapatkan khidmat Yevhen Bokhashvili dari kelab Liga 1 Indonesia, PSS Sleman. Pemain berasal dari Ukraine itu akan menggantikan tempat Sergio Aguero.

“Bokhashvili merupakan pemain yang cukup berpengalaman, dia pernah bermain di liga elit di Ukraine dan Indonesia. Dia pemain ofensif bereputasi tinggi dan saya harapkan dia dapat membawa kita ke satu level yang dimahukan dalam Liga Super,” ujar Dooley lagi.

Yevhen Bokhashvili akan bergandingan dengan pemain import dari Timor Leste, Pedro Henrique di barisan depan Sri Pahang FC dibantu kreativiti Lee Tuck di tengah. Dua lagi pemain import pasukan itu adalah Herold Goulon dan Mamadou Wague yang akan bergandingan di barisan pertahanan.

Foto ehsan : Pulau Pinang Football Association

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.