Hajat Sri Pahang FC melakar kemenangan sulung dalam kempen Liga Super 2022 tidak kesampaian setelah diikat 1-1 oleh pasukan ‘giant-killer’ PJ City di Stadium Darulmakmur pada Sabtu.
Skuad bimbingan Christophe Gamel yang kecundang di tangan Kedah Darul Aman dalam aksi penuh kontroversi pada Rabu lalu, mendahului pada minit ke-38 menerusi jaringan solo cantik Manuel Hidalgo.
Pemain dari Argentina itu merampas bola dari tengah padang dan melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti menewaskan Kalamullah Al Hafiz di gawang PJ City.
38' GOL | Manuel Hidalgo membuka akaun gol musim 2022 menerusi rembatan dari luar kotak penalti!@OfficialPahang 1-0 @pjcityfc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/jOvLNdeYOX
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) April 9, 2022
PJ City bagaimanapun berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit akhir permainan, menerusi rembatan R.Bharatkumar dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan oleh Mamadou Samassa.
Gol itu mencetus kontroversi kerana pada awalnya ia tidak disahkan oleh penjaga garisan kerana pemain PJ City dikesan berada dalam kedudukan offside sekaligus menimbulkan situasi tegang apabila pemain-pemain dan barisan pegawai pasukan PJ City mengerumuni pengadil dan melakukan bantahan.
86' GOL | PJ City FC memperolehi gol penyamaan menerusi rembatan voli R. Barathkumar!@OfficialPahang 1-1 @pjcityfc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/4PfyK2eHb3
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) April 9, 2022
Pengadil kemudian mengubah keputusan dan mengesahkan gol itu selepas mendengar pandangan kedua dari penjaga garisan, menyaksikan kedua-dua pasukan berpuas hati berkongsi satu mata.
Keputusan seri itu juga sekaligus menyaksikan PJ City gagal melakar kemenangan hatrik ke atas pasukan pantai timur selepas terdahulu menang 2-1 ke atas Kelantan (Piala FA) dan kemudiannya membelasah Terengganu 3-0.
Dalam perlawanan lain, Penang FC terus buntu dalam usaha melakar kemenangan pertama musim ini apabila diikat 1-1 oleh Negeri Sembilan di laman sendiri.
Skuad bimbingan K.Devan mendahului pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti Zaquan Adha Abdul Radzak, manakala Penang FC pula membalas juga menerusi penalti Hilal El Helwe beberapa minit selepas itu.
Manakala dalam satu lagi aksi, KL City melakar kemenangan pertama musim ini apabila menewaskan Melaka United 2-0 menerusi dua jaringan Paolo Josue.