Sri Pahang mungkin tidak teruskan dua aksi persahabatan

Sri Pahang mungkin batalkan dua aksi persahabatan
Foto kredit : Sri Pahang FC
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Status perlawanan persahabatan menentang Kelantan United dan Terengganu FC II yang dirancang Sri Pahang sebelum saingan Liga Malaysia kembali bersambung pada 24 Julai, belum dapat dimuktamadkan.

Pengurus pasukan, Datuk Suffian Awang berkata ia bergantung kepada kebenaran daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) memandangkan pergerakan pasukan ketika ini terbatas disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Seperti saya maklumkan memang kita merancang dua perlawanan tetapi bergantung kepada keputusan (MKN) dalam tempoh terdekat kerana seperti diketahui, peningkatan kes Covid-19 terlalu tinggi. Kita doakan situasi bertambah baik dan kes semakin berkurangan.

“Setakat ini pergerakan terbatas untuk meninggalkan Kuantan dan pergi ke tempat yang dilabel zon merah. Kalau nak main di tempat kita sekalipun rata-rata pasukan juga agak khuatir dan bimbang untuk rentas negeri untuk mengadakan perlawanan persahabatan melainkan fasa tersebut dianggap selamat,” ujar Datuk Suffian kepada Labola Malaya.

Beliau bagaimanapun memberitahu pasukan Sri Pahang kendalian Dollah Salleh itu sudah ada perancangan lain jika perlawanan persahabatan tidak dapat diadakan.

“Teruskan atau tidak kena tengok kepada pasukan yang kita nak jumpa serta kebenaran pihak berkuasa. Kerana mengikut syarat MFL kebenaran akan diperoleh daripada pihak polis negeri-negeri tersebut. Jadi kalau tak dapat kebenaran dan tak dapat rentas negeri, perlawanan tak dapat diadakan.

“Tapi saya tidak fikir ia akan menjadi masalah, pendekatan kita, sebagai ganti, buat perlawanan sesama sendiri (sparring match) di antara pasukan A dan pasukan B. Kita ada 26 pemain, dan memang setiap hari kita buat latihan berbentuk sparring match untuk dapatkan match fitness,” ujar beliau lagi.

Sri Pahang akan bertemu dengan Melaka United dalam aksi Liga Super yang kembali bersambung selepas lebih dua bulan berehat, pada 25 Julai depan di Stadium Darulmakmur.

Mereka mengharungi musim terburuk dalam sejarah Liga Super apabila tewas tujuh kali dalam 10 perlawanan pertama dan hanya mula menunjukkan kebangkitan bermula aksi terakhir pusingan pertama dengan membelasah Uitm FC 5-0.

Ketika ini Sri Pahang menduduki tangga kesembilan, berkongsi 12 mata dengan Perak yang menduduki tangga kesepuluh dan hanya satu mata di atas zon penyingkiran mengatasi Melaka United.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.