Sri Pahang seri lagi, Terengganu terciduk di Hang Jebat

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hajat Sri Pahang FC untuk kembali ke landasan kemenangan terbantut lagi, selepas mencatat keputusan seri 2-2 menentang Sabah FC di Likas pada Rabu.

Lebih malang buat skuad Dollah Salleh, mereka begitu hampir melakar kemenangan apabila berjaya mendapat jaringan kedua pada masa kecederaan, namun dikecewakan jaringan penyamaan hanya seminit selepas itu.

Sabah FC mendahului menerusi Josip Ivancic pada minit ke-58 sebelum Baqiudin Samsudin menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-67.

Malik Mat Arif meletakkan Sri Pahang di depan 2-1 pada minit ketiga masa kecederaan, namun Sabah FC mencuri satu mata menerusi jaringan Ivancic sekali lagi.

Keputusan seri itu, ditambah dengan kemenangan dilakar Melaka United ke atas Terengganu FC, menyaksikan Sri Pahang kembali tergelincir ke tangga kesepuluh manakala Sabah FC kekal di kedudukan kelapan.

Sementara itu, Melaka United melakar kejutan dengan menewaskan Terengganu FC 2-0 di Stadium Hang Jebat sekaligus menyentap peluang skuad Nafuzi Zain untuk mencabar kejuaraan Liga Super.

Gol skuad Zainal Abidin Hassan dijaringkan Sony Norde di separuh masa pertama dan Adriano pada minit ke-78 membolehkan mereka melakar kemenangan pertama selepas enam perlawanan seterusnya melonjak satu tangga ke tangga kesembilan.

Terengganu FC pula terlepas peluang menghimpit Johor Darul Takzim dan kekal di kedudukan kedua dengan 30 mata.

Di Petaling Jaya, JDT tidak bermasalah menewaskan Selangor FC 3-1 menerusi jaringan Bergson da Silva pada masa kecederaan separuh masa pertama, Matthew Davies dan juga Mohamadou Sumareh pada minit akhir manakala gol tunggal Red Giants dijaringkan Ifedayo Olusegun.

Tiga mata yang diraih membolehkan skuad Benjamin Mora melebarkan penguasaan di puncak Liga Super kepada enam mata, manakala Selangor FC kekal di tangga kelima.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung di Shah Alam, menyaksikan Penang FC menewaskan Uitm FC 1-0 menerusi jaringan tunggal Sheridin Boboev.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.