Sri Pahang Sudah Bangkit, Boleh Gegar Piala Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penjaga gol berpengalaman, Helmi Eliza Elias percaya Sri Pahang akan bangkit sebagai sebuah pasukan yang jauh lebih baik dalam saingan Piala Malaysia tahun ini, di sebalik mengharungi musim yang mengecewakan dalam Liga Super.  

Menurut Helmi, kekangan utama pasukan sebelum ini adalah tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik disebabkan kecederaan serta kekurangan pengalaman pemain-pemain muda. 

Namun dengan kembalinya tonggak-tonggak utama serta peningkatan prestasi pemain muda, dia melihat prestasi pasukan semakin positif dari perlawanan ke perlawanan dan menganggap ia sebagai indikasi kebangkitan.   

“Bagi saya, kita mampu untuk beri saingan jika kita ada kekuatan penuh dan ini dapat kita lihat dalam perlawanan menentang Kedah dan Penang. 

“Memang betul kita tidak menang, main cantik macam mana pun orang tak pandang kalau tak dapat tiga mata, tapi dari sudut positif kita semakin bertambah baik. 

“Dan sepanjang ketiadaan pemain utama, kita lihat jurulatih telah memberi peluang kepada pemain-pemain muda, yang diturunkan ketika lawan JDT terutamanya semua ada kualiti seperti Syahir, Zazrir, Nur Izzat, termasuk Daniel. Mereka dapat peluang dan kini mereka ada lebih keyakinan.

“Jadi saya percaya kita akan mempunyai skuad lebih baik selepas ini, untuk mengharungi Piala Malaysia dan memang harapan saya mahu bantu Sri Pahang untuk cemerlang,” ujar penjaga gol berusia 38 tahun itu.

Helmi Eliza sebelum ini tersisih kerana kecederaan lutut yang dialami ketika sesi latihan sebelum perlawanan menentang Terengganu FC. 

Perlawanan menentang Penang FC yang mana Sri Pahang tewas 1-2 adalah penampilan pertamanya selepas empat perlawanan.

Mengenai dua jaringan yang dilepaskannya di separuh masa kedua, Helmi mengakui ada melakukan kesilapan dan meminta maaf kepada kepimpinan tertinggi kelab, barisan kejurulatihan, rakan sepasukan serta penyokong.

“Saya sebenarnya baru dua hari masuk latihan semula, iaitu pada Jumaat. Jadi kalau diikutkan saya belum cergas sepenuhnya tapi apabila diminta bermain kerana ini adalah perlawanan penting, saya patuh pada arahan dan memang mahu melaksanakan kepercayaan yang diberi dengan baik.

“Tapi saya akui separuh masa pertama pun dah terlalu penat, disebabkan faktor kecergasan hingga ada buat kesilapan terutama masa gol pertama.

“Kesilapan itu nampak kesilapan mudah, tapi kalau penjaga gol yang fit sekalipun, kesilapan seperti itu boleh terjadi. Hendak berikan sepenuh tumpuan, fokus memerlukan tenaga, itu yang menyebabkan walaupun bola tak datang pun rasa penat,” tambahnya.

Sementara itu, ketua jurulatih, Dollah Salleh menegaskan Helmi Eliza akan tetap menjadi sandaran pada perlawanan terakhir menentang Uitm FC.

“Saya berpuas hati, dia bermain dalam keadaan tidak cergas dan beraksi dengan cukup baik, melakukan yang terbaik. Setakat satu kesilapan itu biasa, tiada keperluan untuk direhatkan.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.