Sri Pahang Takkan Dapat Seorang Lebih Baik Dari Dollah Salleh – Pemerhati Bolasepak

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Takkan ada seorang yang lebih baik dari Dollah Salleh untuk membimbing Sri Pahang , setidak-tidaknya buat masa ini justeru laungan supaya jurulatih itu disingkirkan adalah tidak relevan.

Begitu pendapat bekas pemain kebangsaan yang juga pemerhati bolasepak tanah air, Datuk Jamal Nasir Ismail.

Meskipun prestasi Sri Pahang ketika ini di tahap terburuk selepas gagal menang dalam tujuh perlawanan terakhir dan tewas enam daripadanya, Jamal Nasir percaya Dollah Salleh masih boleh menyelamatkan musim suram pasukan itu.

Sri Pahang menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ke-10 dan tewas dua perlawanan pertama Piala Malaysia 2021.

“Biarkan Dollah buat kerjanya sehingga hujung musim ini dan selepas itu kalau persembahan tak bagus, terpulanglah pada pengurusan untuk kekalkan atau gantikan. Lagipun, ketika ini Piala Malaysia sedang berjalan.

“Kalau gantikan Dollah, adakah nanti (pasukan) akan menjadi bertambah baik ataupun bertambah buruk? Ada jurulatih yang mahu ambil pasukan ketika ini ? Jadi kekalkan apa yang ada buat masa ini.

“Ada rehat kira kira sebulan jadi Dollah perlu memanfaatkan sebaiknya untuk memperbaiki apa jua kelemahan. Masih ada 12 mata untuk dikejar dan pemain perlu memberikan komitmen jika mahu layak ke pusingan seterusnya.

“Saya tetap percaya yang Sri Pahang masih boleh bangkit. Bola itu bulat dan Sri Pahang pun berlawan dengan 11 pemain lawan. Tiada yang mustahil dalam bola sepak,” katanya kepada BH Sukan.

Susulan dua kekalahan dialami di tangan KL City dan Sarawak United, Sri Pahang yang juga juara 2013 dan 2014 ketika ini menghuni tangga tercorot Kumpulan A tanpa mata.

Pada awal musim Thomas Dooley bertindak selaku jurulatih pasukan namun dia disingkirkan selepas tewas hanya dua perlawanan tapi berbeza dengan Dollah Salleh yang kekal membimbing pasukan di sebalik prestasi yang cukup buruk.

Ini antara sebab mendorong penyokong menyuarakan supaya jurulatih baru dibawa masuk namun baru-baru ini bekas penyerang Dickson Nwakaeme tampil mempertahankan Dollah Salleh dengan menyatakan penyokong silap jika memikirkan dia adalah punca masalah.

Baca : Dickson Sedih, Tetapi Tegaskan Penyokong Silap Jika Fikir Dollah Salleh Adalah Punca

“Percayalah bahawa Dollah Salleh bukan masalahnya. Ya jurulatih sentiasa menjadi sasaran mudah untuk disalahkan apabila pasukan tidak beraksi baik, itulah kebiasaannya kerana penyokong tak berada di dalam pasukan dan tidak tahu, tidak nampak apa yang berlaku di dalam pasukan pengurusan.

“Saya pernah bermain dengan Sri Pahang dua kali, dan pernah bermain di bawah Dollah Salleh. Bukan mahu pertahankan tapi mahu memberitahu realiti kepada penyokong.

“Sewajarnya Dollah diberi kredit kerana dia tidak pernah bercakap buruk mengenai pengurusan, dia cuba lakukan yang terbaik dengan apa yang pengurusan sediakan kepadanya,” katanya kepada LABOLA MALAYA.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.