SSM-IV, stadium keramat yang pernah menyaksikan Kelantan FC mengharungi 42 game tanpa kalah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Di antara 2009 hingga 2012, adalah era gemilang bolasepak Kelantan di mana mereka mencipta pelbagai kejayaan-kejayaan hebat untuk dikenang.

Kebangkitan mereka bermula dengan dua kali mara ke pentas final pada 2009 (Piala FA dan Piala Malaysia) yang mana mereka kecundang kedua-dua perlawanan itu, sehinggalah berjaya melakar kejayaan treble sensasi domestik pada 2012.

Salah satu rekod hebat dicipta dalam tempoh empat tahun gemilang itu adalah tidak tewas dalam 42 perlawanan di laman sendiri di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu sehinggakan ia digelar gelanggang keramat dan bisa membuatkan lawan yang bertandang ‘lemah lutut’.

Rekod yang bertahan selama 22 bulan, bermula dari Mei 2011 itu lebur pada April 2013 di tangan ATM – pasukan yang digelar Manchester City Malaysia ketika itu.

ATM menjadi pasukan pertama membawa pulang tiga mata dari Kota Bharu, sejak T-Team melakukannya kira-kira dua tahun sebelum itu menerusi kemenangan 3-1 ke atas Kelantan.

Taktikal hebat Sathianathan perangkap TRW

sathianathan SSM-IV, stadium keramat yang pernah menyaksikan Kelantan FC mengharungi 42 game tanpa kalah

Lebih manis, kemenangan ATM diinspirasikan perancangan taktikal hebat B.Sathianathan yang menolak ke tepi seketika sentimen dan hubungan baiknya dengan penyokong serta pihak pengurusan Kelantan, memacu ATM mencatat kemenangan pertama dalam aksi 90 minit ke atas The Red Warriors selepas gagal melakukannya sejak lima pertemuan sebelum itu.

“Ya, ia satu kemenangan yang manis. Kita menjadi pasukan pertama membawa pulang tiga mata dari sini selepas dua tahun.

“Tetapi, saya tidak fikir pasal rekod mereka, yang selalu saya tekankan adalah prestasi pemain saya, mereka mengikut segala arahan saya dengan baik dan cukup menakjubkan malam ini. Saya tetap berpendapat Kelantan sebuah pasukan yang baik dan akan bangkit selepas ini,” kata Sathianathan selepas kemenangan itu.

Pada perlawanan yang berlangsung di hadapan lebih 20,000 penyokong setia tuan rumah itu, Hairuddin Omar memilih detik tepat untuk menoktahkan kemarau jaringan musim tersebut apabila rembatannya dari luar kotak penalti membias kaki pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim sebelum mengegar gawang kawalan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-11.

11 minit berselang, berpunca daripada hantaran sepakan akrobatik Venice Alphi Denis Kaya, bola yang disambut Marlon dilorongkan pula ke dalam kotak penalti dan Christie mudah menolak masuk dari jarak dekat untuk ATM selesa mendahului 2-0.

Selepas gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan menerusi Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohd dan pemain import baru, Dickson Nwakaeme dek kecemerlangan Farizal Harun mengawal gawang selain palang yang menjadi penghalang, Kelantan akhirnya merapatkan kedudukan menerusi rembatan Faiz Subri, empat minit sebelum tamat babak pertama.

Namun, ATM tidak membenarkan dua kesilapan pertahanan yang berlaku di Paroi berulang kali ini sebaliknya menoktahkan episod kebangkitan Kelantan menerusi rembatan voli rendah Marlon pada minit ke-63 (gol ke-12 penyerang St Vincent & Grenadines itu bagi musim 2013).

“Memang kita bernasib baik Kelantan tidak memanfaatkan beberapa peluang jaringan yang mereka dapat, kita pula menggunakan sebaiknya setiap peluang. Itu yang memisahkan.

“Saya tidak nafikan, pada kedudukan 2-1, memang saya sudah tidak senang duduk, dapat dilihat sepanjang 20 minit pertama babak kedua Kelantan menguasai perlawanan dan berusaha mencari gol penyamaan tetapi mereka kehilangan idea. Pemain saya bertindak bijak mengagalkan setiap gerakan mereka dan menutup ruang, meminimakan kesilapan,” tambah Sathianathan.

Sumber : SuaraSukan1Mas.blogspot.com

Foto kredit: flickr

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.