“Striker import berat, lembap boleh bagi main, striker tempatan tak dapat kepercayaan”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dua bekas penyerang kebangsaan berbeza zaman, Azman Adnan dan Safee Sali berkongsi pendapat mengenai ketandusan penyerang tempatan berkualiti dalam saingan Liga Malaysia.

Azman Adnan merupakan penyerang kebanggaan negara pada tahun 90-an manakala Safee Sali pula menonjol sekitar tahun 2006 ke atas dengan pencapaian terbaik membantu skuad negara menjuarai Piala AFF 2010 dan muncul penjaring terbanyak kejohanan.

Dalam satu program temubual di channel The Azman Adnan, kedua-duanya meluahkan kekecewaan di atas peluang yang cukup terhad untuk penyerang tempatan membuktikan kebolehan mereka tatkala jurulatih dilihat lebih menyanjung penyerang import.

Video : Safee Sali penyerang tulen terakhir buatan Malaysia

Malah ia turut memberi kesan kepada skuad kebangsaan apabila jurulatih, Tan Cheng Hoe  terpaksa menyandarkan harapan kepada pemain yang tiada minit permainan seperti Akhyar Rashid serta Syafiq Ahmad, pemain yang sudah berstatus veteran seperti Norshahrul Idlan Talaha dan pemain naturalisasi iaitu Guilherme De Paula.

“Dalam Malaysia sudah tak ada penyerang tempatan (selepas era Safee Sali), ini kenyataan. Semua pasukan menggunakan penyerang import, jadi tempatan tiada sehinggakan kita terpaksa ambil pemain (luar) jadikan warganegara manakala pemain tempatan tercicir.

“Kepercayaan perlu diberi kepada pemain tempata, jika semua pemain import, apa guna buat program pelapis. Kita ada pelapis yang boleh jadi penyerang, tapi import ramai, jadi penyerang yang ada duduk tepi, memang tak ke mana.

“Pada akhirnya jurulatih senaraikan Safee, Matyo, nak salahkan siapa? Kita bukan tak ada penyerang yang baik tapi mereka tak diberikan peluang,” kata Azman Adnan yang pernah bermain untuk Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Manakala Safee Sali yang berusia 37 tahun dan ketika ini bermain untuk KL City FC pula berkata seburuk manapun seorang pemain import beraksi, dia tetap mendapat tempat dalam pasukan tetapi kecewa peluang sama tidak diberikan kepada pemain tempatan.

“Banyak coach, banyak team nak letakkan pemain import di serangan, apa pemain tempatan tak boleh skor, kita pun boleh skor lah. Selagi tak diberi peluang, selagi itu kita ketandusan.

“Saya rasa selepas saya mungkin tak ada dah nampak pemain tempatan yang betul-betul ada nama yang boleh skor. Sebab tu saya masih main sampai sekarang. Sebab tak nampak lagi penyerang generasi baru yang betul-betul boleh diberi kepercayaan mengalas tugas bersama tugas kebangsaan, dan boleh jadi top.

“Jurulatih ni kadang striker berat, lembap pun boleh bagi main, kita striker tempatan apalah bezanya (diberikan peluang sama). Saya pun rasa geram tengok striker import main.

“Pemain tempatan tak diberi kepercayaan, bukan tak ada bakat langsung. Macam saya dulu, bukan terus bagus tapi jurulatih bagi kepercayaan untuk saya main.

“Kalau korang masih ingat, pada 2009 dan 2010 Liga Malaysia tak ada import, pemain tempatan menyerlah dan nampak bagus, tapi bila masuk import, anak tempatan terutamanya penyerang tenggelam dan itu membuatkan tiada striker tempatan menonjol.

“Hakikatnya tak ada pasukan yang memikirkan pembangunan anak tempatan, semua ambik pemain, ambil striker, ingat skor gol boleh terus jadi juara,” katanya yang memulakan karier bersama Kuala Lumpur dan pernah berkelana ke Liga Indonesia.

Kredit : The Azman Adnan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.