Stuart : ‘Mana ada sengaja lengahkan kes Natxo Insa, kita sudah ikut prosedur’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah bermesyuarat buat kali pertama bagi penggal 2021-2025 pada minggu lalu, dan menjatuhkan hukuman ke atas empat pemain.

Seperti semua sedia maklum, kes-kes yang dibicarakan dan diambil tindakan adalah membabitkan Ahmad Khairil Anuar Zamri (gantung dua perlawanan); Hein Htet Aung (gantung satu perlawanan) manakala dua lagi pemain iaitu Jack Hindle dan Alex Goncalves pula diberi amaran keras.

Bagaimanapun ketiadaan nama seorang lagi pemain, iaitu Natxo Insa dalam senarai pemain dikenakan tindakan, menimbulkan pertikaian ramai sehingga mewujudkan pelbagai persepsi negatif.

Pemain tengah Johor Darul Takzim itu dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berikutan tindakannya menolak pengadil Azriel Baharudin ketika perlawanan menentang Perak FC di Ipoh pada 21 Mac.

Ada yang menganggap pemain itu mendapat layanan istimewa, ada yang menganggap FAM takut mengenakan hukuman, ada yang berpendapat perbicaraan kes Natxo Insa sengaja dilengahkan bagi membolehkan dia bermain dulu dalam perlawanan-perlawanan penting (kerana dia berpotensi digantung perlawanan), serta pelbagai tanggapan lain.

Begitupun Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menyangkal tanggapan sedemikian.

“Tidak ada istilah FAM sengaja melambat-lambatkan perbicaraan kes Natxo Insa, mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib yang pertama baru-baru ini adalah untuk membicarakan tentang kes pada dua perlawanan pertama, matchday 1 dan matchday 2.

“Mesyuarat berikutnya kes membabitkan matchday 3, 4 dan 5 pula akan didengari. Kes Natxo Insa adalah pada matchday 5 jadi ia semuanya akan berlaku mengikut aturan.

“Jawatankuasa Tatatertib adalah badan bebas, dan kami sebagai badan induk tidak terbabit dengan sebarang pembuatan keputusan. Perlu diingat, menghukum pemain atau pegawai bukan semudah menonton video dan terus membuat keputusan.

“Ada proses dan prosedur yang perlu diikuti sebelum satu-satu kes itu dibawa ke dalam mesyuarat, jadi ia tidak betul untuk mengatakan bahawa kes pemain itu akan dilupakan begitu sahaja,” kata Stuart Ramalingam kepada NST Sports.

Sebelum ini, bekas pengadil FIFA yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Subkhiddin Mohd Salleh berkata bahawa tindakan Natxo Insa itu wajar dikenakan hukuman berat kerana ia dianggap sebagai kelakuan ganas ke atas pegawai perlawanan.

Beliau turut menjadikan keputusan diambil AFC ke atas Farizal Marlias pada 2017 sebagai contoh sambil menganggap hukuman yang ringan atau tidak setimpal akan mendorong lebih ramai pemain untuk berkelakuan sama sebagai menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pengadil.

Begitupun melihat hukuman dikenakan ke atas Jack Hindle, maka penyokong mungkin sudah boleh menduga apa jenis hukuman yang akan dikenakan ke atas Natxo Insa, kemungkinan besar dia akan terlepas dengan hanya diberi amaran keras.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.