Stuart Ramalingam : “Biasalah main bola ada insiden panas, benda bukan isu besar”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menyifatkan insiden panas yang tercetus ketika perlawanan antara Kedah Darul Aman dan Johor Darul Takzim pada Selasa lalu, adalah perkara biasa dalam bolasepak.

Justeru, Stuart berpendapat perkara itu tidak perlu diperbesarkan sebaliknya di pihak FAM, mereka akan menyiasat perkara itu sekiranya ada laporan rasmi daripada pegawai perlawanan.

“Saya belum tengok sendiri laporan (komisioner) perlawanan, tetapi itu saya tak melihat sebagai satu isu besar. Dua pasukan yang berada di tangga teratas bertembung dalam aksi yang cukup penting, ada sepakan penalti di hujung permainan.

“Kemudian ada sedikit pergeseran dan insiden panas, itu semua rencah dalam perlawanaan dua pasukan yang bersaing untuk kejuaraan liga.

“Kadangkala ia berlaku juga dalam perlawanan bolasepak di seluruh dunia, saya rasa tak perlu kita hangatkan isu di luar padang dan saya percaya dalam sidang media pun kedua-dua jurulatih cukup profesional mengulas insiden itu.

“Saya boleh nyatakan saya sendiri belum tengok laporan, tetapi kalau laporan oleh pegawai perlawanan atau pengadil FAM (wujud insiden pergaduhan) kita akan ambil tindakan jika perlu,” kata Stuart Ramalingam seperti dilaporkan Sukan Arena.

Sebelum ini, jurulatih JDT Benjamin Mora turut senada dengan Stuart Ramalingam apabila menyatakan, “Kedua-dua pasukan nak menang, dan ada perkara-perkara yang mungkin dirasakan tidak adil, menimbulkan rasa tidak puas hati.

“Dalam ketegangan perlawanan masing-masing bertikam lidah, mungkin ada cakap sesuatu, mungkin kecoh dalam lima minit, tapi benda habis kat situ.”

Berita berkaitan : Mora nafi JDT suka cari gaduh 

Sebagai rekod, insiden panas di luar padang tercetus sebaik wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan dan difahamkan ia kemudiannya melarat sehingga ke bilik persalinan.

Begitupun, keadaan dilihat kembali tenang dan terkawal sejurus sebelum separuh masa kedua bermula dengan pengendali Kedah, Aidil Shahrin Sahak dilihat bersalaman dengan pemain dan pegawai JDT.

Insiden tersebut juga menimbulkan rasa amarah Presiden Persatuan Bolasepak Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang menyifatkan JDT bersikap samseng dan ‘kerek’ di tempat orang, selain tidak menghormati Kedah sebagai tuan rumah.

Foto : Football Association of Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.