Stuart Ramalingam : “Boleh jer sentuh pengadil, tengok tujuan dia”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Tidak semua sentuhan ke atas pengadil adalah satu kesalahan,” demikian tegas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia Stuart Ramalingam.

Insiden pemain menolak pengadil kerana tidak berpuas hati dalam saingan Liga Malaysia semakin menjadi-jadi dan perkara yang lebih menjadi tumpuan adalah ketidakseragaman hukuman yang dikenakan ke atas mereka.

Menurut Stuart Ramalingam, ramai yang masih tidak faham peraturan dan beranggapan apabila sentuh sahaja pengadil, maka pemain itu perlu dilayangkan kad atau diambil tindakan terus tanpa melihat sebab mereka berbuat demikian.

“Pemain boleh menyentuh pengadil dalam perlawanan tetapi tujuannya sudah tentu bukan untuk mengasari atau membuat bantahan dengan melulu. Sebaliknya, mungkin seseorang pemain itu menyentuh pengadil untuk berkomunikasi dan meminta penjelasan atau sebagainya.

“Tidak semua situasi pemain menyentuh pengadil adalah satu kesalahan atau untuk tujuan provokasi. Terdapat situasi pemain sebenarnya menyentuh pengadil cuma mahukan penjelasan lanjut berkaitan keputusan yang dibuat.

“Kita jangan lihat apabila ada sentuhan walaupun nampak kasar sebenarnya bagi pengadil perlawanan ketika itu tiada apa yang berlaku.

“Jika terdapat insiden berkenaan, kami (FAM) akan bertanya kepada pengadil berkenaan adakah ada unsur provokasi namun dia menjawab tiada cuma sentuhan terbabit untuk dapatkan penjelasan saja.

“Oleh itu, biarkan pengadil membuat keputusan terbabit dan dia akan tentukan sentuhan itu adakah kekerasan terhadapnya atau sebaliknya,” kata Stuart Ramalingam selepas Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Pengadil FAM bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM pada Khamis.

Kes pertama dilaporkan musim ini adalah membabitkan penyerang import Kelantan, Jack Hindle yang menolak pengadil ketika perlawanan antara Kelantan FC dan Perak II disusuli insiden membabitkan Natxo Insa ketika perlawanan antara Johor Darul Takzim dan Perak FC.

Kedua-dua mereka terlepas hukuman ketika perlawanan, tetapi Jawatankuasa Tatatertib telah bersidang dan memberikan amaran keras kepada Jack Hindle, manakala Natxo Insa pula digantung satu perlawanan serta didenda RM10,000.

Kemudiannya pemain Kedah Darul Aman Fadzrul Danel dilayangkan kad merah kerana menolak pengadil pada perlawanan menentang Terengganu FC, dan terbaru seorang lagi pemain JDT Gonzalo Cabrera dilayangkan kad kuning atas tindakan sama ketika menentang Sri Pahang pada 16 April lalu.

Sementara itu, Stuart Ramalingam mengesahkan tiada tindakan lanjut akan diambil ke atas Gonzalo Cabrera.

“Dalam kes Cabrera ini, pengadil telah mengambil tindakan dengan memberikan kad kuning kepadanya. Apabila pengadil dah beri kad kuning, maka ia berakhir di situ sahaja.

“Namun, berbeza sekiranya seseorang pemain dilayangkan kad merah dan hukuman boleh ditambah mengikut kekasaran yang dilakukan dan boleh dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib,” tambahnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.