Stuart Ramalingam : Bukan Salah MFL, Skuad Negara Terjejas Kerana Terlalu Banyak Kekangan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kegagalan skuad negara di Piala AFF Suzuki 2020 menyaksikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikecam teruk penyokong bolasepak tanah air.

Turut terkena tempias adalah Malaysian Football League (MFL) yang dikatakan gagal menyusun jadual Liga Malaysia dengan lebih efektif sehingga menyebabkan jadual menjadi padat sekaligus menyebabkan persiapan skuad negara terganggu.

Sebagai rekod, saingan Liga Super yang bermula bulan Mac berakhir pada September dan terus disusuli dengan saingan Piala Malaysia. Namun selepas hanya dua perlawanan, pertandingan dihentikan sehingga sebulan kerana memberi laluan kepada skuad kebangsaan untuk beraksi dua perlawanan persahabatan di Jordan.

Apabila saingan kembali bersambung, jadual Piala Malaysia menjadi terlalu padat dengan kesemua perlawanan termasuk final dihabiskan pada bulan November.

Manakala pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad negara bagi Piala AFF pula hanya dapat dikumpulkan pada 1 November iaitu 4 hari sebelum bermula pertandingan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, MFL tidak boleh disalahkan kerana pada hakikatnya pelbagai kekangan terpaksa ditempuhi pada tahun ini disebabkan penularan wabak Covid-19.

“Perubahan jadual Liga Malaysia bagi kalendar 2021 sememangnya tidak dapat dielakkan disebabkan PKP, penangguhan perlawanan dan tempoh kuarantin yang perlu dilalui skuad kebangsaan tahun ini.

“Bukan senang (untuk mengatur jadual) berikutan dua tahun pandemik melanda sepanjang 2020 dan 2021. Mungkin ada perdebatan tentang kekangan jadual. Tapi kita perlu realistik kerana ia adalah satu masalah yang membabitkan keadaan semasa,

“Situasi itu sudah tentu memberi kesan kepada semua pasukan Liga Malaysia termasuk skuad kebangsaan. Pihak MFL sudah berusaha sedaya upaya untuk menguruskan penjadualan semula Liga Malaysia dengan baik.

“Masalah yang timbul bukan berkaitan dengan isu komunikasi, tetapi lebih kepada situasi pandemik Covid-19 dan juga kekangan-kekangan yang kita hadapi,” kata Stuart Ramalingam kepada Sukan Sinar.

Tambah Stuart Ramalingam lagi, “Bagi mengelak perkara sama berulang pada masa akan datang, MFL akan sentiasa bekerjasama rapat dengan FAM dalam merangka jadual perlawanan Liga Malaysia musim depan.

“Apa pun, kami berharap pada tahun 2022 nanti tidak ada lagi sekatan-sekatan yang menyebabkan saingan liga terpaksa ditangguh.”


Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.