Stuart Ramalingam : FAM tidak akan campur tangan isu tunggakan gaji pasukan Perak FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam menegaskan badan induk itu tidak akan mencampuri urusan tunggakan gaji pasukan Perak FC sepertimana tersebar dan menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong bolasepak tempatan, setidak-tidaknya buat masa ini.

Pada Jumaat lalu, Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Presiden PAFA Datuk Adly Shah Ahmad Tah mengumumkan peletakan jawatan mereka berkuatkuasa serta merta.

Ahmad Faizal kemudian memberi alasan keputusan itu diambil kerana mendakwa PAFA kini tidak lagi memperoleh bantuan dan sokongan kerajaan negeri khususnya sumber kewangan disebabkan politik dalaman, dan mendedahkan ia membawa kepada tunggakan gaji selama sebulan setengah iaitu separuh bulan November dan Disember 2020.

Menurut Stuart, setakat ini FAM belum menerima sebarang laporan rasmi daripada pemain mahupun pegawai Perak FC berhubung masalah tunggakan gaji, justeru berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik, dalam masa sama memberitahu masalah ini tidak ada kena mengena dengan pelesenan kelab.

“Buat masa ini, FAM tidak akan masuk campur dalam masalah itu. Urusan gaji hanya melibatkan antara kelab dan kakitangannya, jadi biarlah ia diselesaikan di peringkat PAFA terlebih dahulu. Seperkara lagi, ini bukan masalah melibatkan pelesenan (kelab). Pelesenan kelab adalah di bawah bidang kuasa MFL,” kata Stuart dipetik dari Sinar Harian.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan pula memberitahu, “Kami memahami adanya pertukaran dalam kepimpinan politik di negeri Perak dan ia dapat dilihat menerusi peletakan jawatan Presiden PAFA baru-baru ini. Jadi diharapkan agar kepimpinan baharu PAFA dapat bertindak segera bagi menangani perkara ini agar tidak berlarutan.”

Sementara itu, Naib Presiden 1 PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohamad yang kini bertindak sebagai pemangku Presiden sehingga berlangsungnya Kongres PAFA pada bulan depan berkata persatuan itu tidak pernah terfikir untuk menjual Perak FC di sebalik berdepan kemelut kewangan.

“Fokus utama PAFA sekarang ini adalah untuk membangunkan Perak FC dan mencari titik pertemuan dalam usaha menyuburkan semula bola sepak Perak seiring dengan proses penswastaan kelab yang ditetapkan FAM dan MFL.

“Kami tak boleh sewenang-wenangnya jual atau melelong kepada siapa-siapa. Kami harus berbincang dengan kerajaan negeri (Perak) sebab mereka juga ada sentimen tersendiri.

“Semua pihak masih terkejut dengan apa yang berlaku sejak beberapa hari lalu. Apa yang paling penting sekarang adalah untuk kita kenal pasti pihak yang akan menerajui Perak FC,” katanya.

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.