Stuart Ramalingam nafi ranking Liga Malaysia jatuh

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Spekulasi yang bertiup di media sosial mengatakan kedudukan Liga Malaysia dalam ranking kelab Asia telah dipintas Liga Indonesia dan Liga Singapura, sekaligus menjejaskan slot bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC adalah tidak benar.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, “Tempoh pengiraan tempoh empat tahun ini memberikan kesamarataan (untuk mengukur) prestasi kelab secara purata.

“(Contohnya sesebuah kelab itu) bukan hanya menyerlah tahun ini maka mereka akan dapat tiga, empat slot. Langkah pengiraan selama empat tahun ini adalah untuk mendapatkan anggaran yang tepat dan betul,” katanya dalam temu bual di Nadi Weekend.

Sebagai pengesahan, laman sesawang rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memaparkan Liga Malaysia berada di ranking keempat kekal di belakang liga Thailand, Filipina dan Vietnam.

Thailand menghuni tangga kelapan ranking kelab AFC dan Malaysia menduduki tangga ke-18 dengan pungutan 26.96 mata, satu tangga di depan Singapura (26.607) sementara Indonesia di tempat ke-28.

Menurut Stuart Ramalingam lagi, kedudukan ranking kelab Asia akan dinilai pada hujung tahun ini berdasarkan prestasi wakil negara masing-masing.

“Semua liga memerlukan masa untuk slot-slot itu ditawarkan ke peringkat domestik. Tahun ini ia sudah ditawarkan kepada pasukan di Malaysia iaitu satu slot ke Liga Juara-Juara Asia dan dua lagi untuk Piala AFC.

“Perkara ini tidak boleh diubah di pertengahan musim, pengiraan mata pada hujung tahun 2021 akan membabitkan kedudukan 2023.

“Pada masa ini, saya yang juga duduk dalam Jawatankuasa Pertandingan AFC akan pastikan perkara ini diteliti,” tambahnya.

Untuk musim ketiga berturut-turut, Johor Darul Takzim mewakili Liga Malaysia dalam saingan ACL manakala Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC pula akan berentap dalam saingan Piala AFC.

ACL yang ditunda sebelum ini telahpun bermula pada 22 Jun lalu dengan JDT berentap bersama-sama Nagoya Grampus, Ratchaburi FC dan Pohang Steelers di Bangkok namun belum ada jaminan saingan Piala AFC akan diteruskan berikutan kegagalan AFC mencari pengganti Singapura untuk menjadi tuan rumah.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.