Stuart Ramalingam : ‘Nak potong gaji, bincang dengan pemain bukannya media’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Buat perbincangan terbuka dengan para pemain dan pegawai bagi mencari solusi terbaik, susulan penangguhan Liga Malaysia untuk tempoh lebih lama disebabkan penularan wabak Covid-19.

Demikian nasihat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada semua pasukan bertanding.

Penangguhan saingan Liga Malaysia 2020 bermula 16 Mac lalu ke satu tarikh yang belum ditetapkan (tambahan 2 minggu selepas arahan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Kerajaan) menyebabkan beberapa pasukan sudah mula mempertimbang kemungkinan melaksana pemotongan gaji, antaranya Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP).

Malah beberapa persatuan lain turut menyuarakan akan mengambil langkah sama jika itu dapat membantu mereka ‘survive’ sehingga ke hujung musim setelah pendapatan terjejas teruk.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, bagi Fasa Pertama ini iaitu berkaitan penangguhan pertandingan, semua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia 2020 diminta untuk mengadakan perbincangan terbuka di antara pihak pengurusan dan pemain kelab masing-masing supaya satu penyelesaian atau persetujuan bersama dapat dicapai dalam tempoh yang sukar ini.

“Berbanding daripada sekadar mengeluarkan kenyataan atau komen di media sahaja yang hanya akan menyulitkan lagi keadaan, adalah lebih baik pihak kelab atau pasukan berhubung terus dengan para pemain dan pegawai pasukan mereka untuk berbincang secara terbuka berkaitan perkara-perkara penting termasuk isu gaji, kontrak, kebajikan dan sebagainya.

“Dalam keadaan sekarang, FAM berharap agar kelab-kelab, para pemain dan pegawai dapat sama-sama menggunakan budi bicara dan bertolak ansur demi kepentingan bersama, sekali gus mencapai satu keputusan menang-menang untuk kebaikan semua.

“Memang semua pihak yang terbabit mempunyai kepentingan masing-masing untuk dijaga. Namun, dalam situasi ini, semua pihak perlu berkorban bagi mencapai satu penyelesaian yang terbaik dan sewajarnya untuk kepentingan industri bola sepak kita ini.

“Pada masa yang sama, FAM dan MFL juga sentiasa terbuka untuk berbincang atau memberikan pandangan dan nasihat kepada mana-mana pihak sama ada kelab, pemain atau pegawai. Jika ada masalah atau pertanyaan, boleh terus hubungi kami,” kata Stuart.

Sebagai rekod, saingan CIMB Liga Super, Liga Premier, Shopee Piala FA, TM Piala Malaysia dan Challenge Cup adalah di bawah kelolaan MFL manakala Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) di bawah kelolaan FAM.

Saingan Liga M3 dan M4 pula di bawah kelolaan Amateur Football League (AFL). Kesemuanya terlibat dengan penangguhan ini.

Isu COVID-19 ini menyaksikan kelab-kelab serta para pemain dan pegawai di seluruh dunia turut sedang dan telah mengadakan perbincangan terbuka untuk berdepan tempoh sukar dan situasi yang tidak diingini ini secara bersama.

Dalam pada itu, Stuart memberitahu bahawa FAM dan MFL akan memantau dari sehari ke sehari keadaan COVID-19 ini serta mengikut arahan semasa daripada kerajaan sebelum mengeluarkan jadual baharu Liga Malaysia 2020.

Foto : FAM

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.