Stuart : Skuad Projek FAM-MSN tidak akan layak ke Liga Super

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad Projek FAM-MSN yang dibentuk untuk beraksi dalam saingan Liga Premier 2021, tidak akan layak ke Liga Super meskipun menamatkan saingan di kedudukan dua teratas, demikian menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Stuart Ramalingam.

Pasukan yang akan dikendalikan bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah itu juga tidak akan mengambil bahagian dalam pertandingan Piala FA dan Piala Malaysia, sepertimana empat pasukan feeder team.

“Mereka akan kekal sebagai pasukan pembangunan dan bermain di Liga Premier, dan kami juga tidak melihat sebarang isu dengan Konfederasi Bolasepak Asia berhubung penyertaan pasukan Projek FAM-MSN ini di dalam Liga Premier,” kata Stuart kepada NST.

Ini bermakna slot untuk bermain di Liga Super kekal menjadi buruan enam pasukan sahaja iaitu Kelantan, Kelantan United, Negeri Sembilan, PDRM FC, Sarawak United dan Kuching FC.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Remaja Negeri Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP), Aminuddin Hussin menolak tanggapan segelintir pihak bahawa saingan Liga Premier adalah terlalu tinggi tahapnya bagi pemain-pemain berusia 20 tahun dan menegaskan produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) kesemuanya dilatih dengan latihan bertaraf tinggi sekaligus menjadikan mereka bersedia untuk bersaing dalam Liga Premier.

“Liga Perdana adalah saingan yang setaraf dengan mereka. Jika beraksi dalam saingan lebih rendah, pemain-pemain di AMD sudah pun bermain di Piala Belia dan Piala Presiden seawal usia mereka 16 tahun.

“Maka, tiada saingan yang setanding buat tahap atau ‘level’ mereka setakat ini selain di Liga Premier.

“Kalau hendak fikirkan kecederaan, kita boleh dapat dimana-mana sahaja hakikatnya ia terpulang pada kredibiliti seseorang jurulatih itu dalam menyediakan pemain-pemainnya.

Aminuddin menambah, inisiatif menubuhkan Skuad Projek FAM-MSN ini sangat baik ekoran ia adalah kesinambungan kepada apa yang diusahakan ketika ini.

“Jika dilihat tidak semua graduan AMD akan disunting oleh pasukan-pasukan Liga Malaysia maka nanti bakat mereka akan habis begitu sahaja. Mungkin pasukan-pasukan ini merasakan pemain ini masih muda, kurang yakin …saya tidak pasti.

“Yang diambil pula adakah khidmat mereka akan digunakan sebaiknya mungkin seperti yang kita latih di akademi? Maka pendekatan yang diambil FAM-MSN ini umpama penyelamat buat graduan kerana di dalam skuad ini pastinya mereka akan dibangunkan dengan seimbang seiring dengan apa yang sudah dipelajari mereka sepanjang di akademi.

“Kita tidak boleh terlalu fikir akan kecederaan bak kata pepatah ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai,” katanya sambil menekankan pemain-pemain ini bukan beraksi untuk menang sebaliknya untuk pembangunan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.